Malaysia pertingkat akses dan ekuiti ‘global surgery’

- Advertisement -

PETANG tadi saya telah berpeluang untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam mempertingkatkan akses dan ekuiti ‘Global Surgery’ di ‘International Surgical Week 2022’ yang sedang berlangsung di Vienna, Austria. 

Syarahan yang bertajuk ‘Patient-Centred Global Surgery’ ini menangani faktor-faktor dan cabaran Malaysia dalam memastikan rakyat tidak kira di mana sahaja untuk mendapatkan akses yang sama rata kepada pembedahan yang penting termasuk pembedahan kecemasan. 

Sehingga kini, sebanyak 20 buah hospital di seluruh negara telah menjalankan inisiatif ‘Global Surgery’ ini dan jumlah ini akan dipertingkatkan lagi bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia juga menjalin kerjasama dengan badan-badan bukan Kerajaan seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain untuk meningkatkan akses kepada pembedahan seperti pembedahan katarak dan pusat bersalin berisiko rendah.

Menerusi inisiatif hospital kluster pula, Kementerian Kesihatan mengoptimumkan sumber sedia ada dalam memastikan akses dan ekuiti kepada pembedahan penting dan kecemasan di hospital-hospital seluruh negara agar dapat memberikan impak yang besar dan berkesan bagi seluruh rakyat Malaysia. 

Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus melipat gandakan inisiatif ‘Global Surgery’ ini di dalam dan di luar negara kerana seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Wilayah Pasifik Barat, Dr Takesi Kasai bahawa tiada perlindungan kesihatan sejagat (UHC) tanpa akses kepada pembedahan yang selamat dan di dalam kemampuan rakyat.

Peranan penting Malaysia di pentas dunia ‘Global Surgery’ juga akan diterjemahkan lagi dengan kehadiran negara ini sebagai ‘Vice-Chair of the WHO Executive Board’ bagi Wilayah Pasifik Barat dari tahun 2022 dan 2023 dan Ahli Lembaga WHO Executive Board bagi tahun 2021 hingga 2024. 

Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kesihatan rakyat di negara ini kekal di tahap yang terbaik!

TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -