Banjir Baling: Tiada keperluan tubuh RCI

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyifatkan tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan wujud percanggahan dalam laporan berhubung punca kejadian banjir di Baling, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini memandangkan laporan yang dibuat itu tidak melibatkan campur tangan pegawai kerajaan, bahkan ia dibuat oleh pakar-pakar profesional serta profesor-profesor yang terhandal untuk kajian itu.

“Ia tidak timbul isu pencanggahan kerana kita telah melantik mereka yang terlibat untuk mengkaji, ini melibatkan mereka dari pelbagai profesor dan pakar-pakar yang terkemuka.

“Oleh itu, saya tidak nampak perlu untuk tubuhkan RCI dan laporan ini tidak seharusnya dipertikaikan tetapi jika nak diperdalamkan boleh.

- Advertisement -

“Kita bukan pakar tetapi kita dengar daripada pakar dan kerajaan ambil yang terbaik,” katanya kepada pemberita ketika dalam satu sidang media yang diadakan selepas selesai merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail (SMKSI), di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, banjir sebegitu bukan perkara baru berlaku di negara ini malah kejadian sebegitu pernah berlaku di Keningau, Sabah.

Terdahulu media melaporkan, Kelab Sahabat Alam Sik dan Grass Kedah menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas wujud percanggahan dalam laporan berhubung punca kejadian banjir puing di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.

Penasihatnya, Mohd Sobri Ramlee, berkata ini kerana berlaku dua kenyataan berbeza dikeluarkan KeTSA dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -