RM9.40 sekilo: Harga siling ayam mulai Jumaat ini

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam tetapi meneruskan subsidi dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai Jumaat ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Advertisement

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata dengan pelaksanaan subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Feb lalu.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Harga maksimum telur ayam gred A sebelum ini ditetapkan pada 43 sen sebiji, telur ayam gred B pada 41 sen sebiji dan telur ayam gred C pada 39 sen sebiji.

Ronald berkata keputusan itu mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian golongan M40.

Menurutnya, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 tahun ini.

Bantuan ini merupakan bantuan tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

Ronald berkata isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

“Namun, kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban. – BERNAMA