Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik bermula dengan langkah kanan

Foto daripada Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya membalas dendam di atas kekalahan mereka dalam pusingan kedua Terbuka Denmark 2021 di tangan Akira Koga-Taichi Saito dengan menyingkirkan beregu Jepun itu dalam pusingan pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini.

Dalam pertemuan kedua mereka hari ini, Aaron-Wooi Yik yang merupakan pilihan kelima kejohanan berjaya mengatasi saat-saat cemas ketika menumpaskan pasangan Jepun bukan pilihan itu 21-18 dalam perlawanan pembukaan.

Advertisement

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 kemudian meneruskan usaha mereka untuk mencapai kemenangan yang berkesudahan dengan kemenangan tipis 21-19 pada set kedua.

Aaron-Wooi Yik akan bertemu Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean dalam pusingan kedua esok bagi menempah slot ke suku akhir. 

Beregu Singapura itu menewaskan pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, 21-14, 21-19.

Sementara itu, Aaron gembira untuk membalas dendam di atas kekalahan mereka 19-21 dan 13-21 di Denmark tahun lepas dan bersedia untuk mengatasi  Hee Yong-Kean Hean dalam kejohanan ini.

Biarpun kejohanan tahun ini menyaksikan beberapa pemain berprofil tinggi terpaksa pulang awal, Wooi Yik percaya mereka boleh mengelak daripada mengalami nasib sama terutamanya dalam aksi esok.

Pemain pilihan utama perseorangan wanita Akane Yamaguchi  dari Jepun selain daripada beregu campuran nombor tiga dunia Yuta Watanabe-Arisa Higashino juga rakan senegaranya merupakan antara peserta yang tersingkir seawal pusingan pertama.

“Kita tak risau sangat lah, yang penting kita kena tumpaskan pemain lain,” Wooi Yik memberitahu pemberita di sini hari ini. – BERNAMA