Peranan murabbi ummah pastikan ketulenan ilmu

- Advertisement -

IMAM Al Hassan Basri Rahimahullah pernah menukilkan suatu ayat yang menarik untuk pedoman kita, iaitu:

- Advertisement -

العَامِلُ عَلَى غَيْرِ عِلْمٍ كَالسَّالِكِ عَلَى غَيْرِ طَرِيْقٍ وَالعَامِلُ عَلَى غَيْرِ عِلْمٍ مَا يُفْسِدُ اَكْثَرُ مِمَّا يُصْلِحُ … 

Orang yang beramal tanpa ilmu seperti orang yang berjalan bukan pada jalan yang sebenarnya. Orang yang beramal tanpa ilmu hanya membuat banyak kerosakan berbanding mendatangkan kebaikan…” 

(Lihat Miftah Daris Sa’adah karya Ibnul Qayyim, 1: 299-300)

Sebenarnya, ayat ini cukup untuk memberi kefahaman kepada kita betapa besarnya peranan ilmu dalam mendepani zaman. Orang yang berilmu, akan memastikan setiap yang dilakukan itu adalah berlandaskan kebenaran dan kebaikan, lebih-lebih lagi dalam perkara melibatkan agama. Oleh itu, tugas yang amat berat digalas oleh para murabbi ummah seperti guru KAFA, guru takmir, para imam serta pentadbir masjid dalam memastikan ilmu yang benar dan tepat disampaikan kepada masyarakat.

Dalam memastikan ilmu yang disampaikan itu tepat, para murabbi ummah perlu mempunyai kefahaman yang tinggi dalam akidah, syariah serta lughah supaya murabbi ummah dapat memahami apa isi kandungan yang ingin diajar.

Para murabbi ummah juga seharusnya mengajar berlandaskan dalil dan nas yang sahih, bukan hikayat rekayasa yang tiada sandaran demi memastikan ketulenan ilmu dari unsur luar yang tidak bersumberkan wahyu. Itulah peranan terbesar murabbi ummah dalam mendidik masyarakat menjadi golongan yang berilmu dan beriman kepada Yang Maha Esa. 

Saya amat bertuah dapat meluangkan masa bersama para murabbi ummah, dalam sesi forum sempena Multaqa’ Murabbi Ummah di negeri Pahang Darul Makmur. Saya lihat wajah-wajah mereka yang ikhlas mendidik masyarakat tanpa penat lelah dalam memberikan kefahaman Islam yang sebenar. Sesungguhnya bantuan dan peruntukan yang diberikan tidak cukup untuk membalas jasa dan bakti yang mereka curahkan buat ummah. 

Terima kasih YB Menteri Dato’ Ustaz Idris Ahmad atas peruntukan dari Kerajaan Persekutuan sebanyak RM60.44 juta untuk pemerkasaan Islam di negeri Pahang Darul Makmur, yang telah diserahkan kepada YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang.

Kerajaan akan terus komited bagi memastikan kebajikan para murabbi ummah terus terjaga, demi memastikan tugas melahirkan masyarakat berilmu dapat dilaksanakan dengan baik. Insya-Allah.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -