Wanita tunjang keluarga sejahtera

- Advertisement -

ISLAM meletakkan darjat kemuliaan wanita sama dengan lelaki. Wanita, sama ada ibu, nenek, isteri, anak, kakak dan lain-lain berperanan besar dalam menunaikan tuntutan kehidupan seharian. 

Dalam soal ini, suka saya kongsikan pengorbanan dan kasih sayang seorang isteri kepada keluarga. Tambahan pula, sentiasa ada di belakang menjadi tulang belakang keluarga.

Begitu juga dalam kehidupan berumah tangga. Tidak kiralah, isteri itu seorang suri rumah tangga sepenuh masa atau pun berkerjaya.

Maklum sahaja, naluri keibuan itu menebal membuatkan anak lebih selesa bersama ibu. Kadangkala suami melepaskan ‘baton’ sementara dalam mengasuh atau menjaga anak.

Di kala sang suami sibuk mencari rezeki di luar. Adanya si isteri menjaga anak-anak. Sewaktu si suami demam atau sakit, adanya isteri menemani dan menjaga makan minum. Banyak lagi sebenarnya pengorbanan isteri buat keluarga kalau nak diceritakan.

Begitu besarnya pengorbanan seorang wanita yang bergelar sebagai isteri. Hebatnya isteri mampu menguruskan masa dan berkorban demi keluarga tercinta. Perkara sebeginilah sebenarnya melahirkan keluarga sejahtera, mereka menjadi tunjang kepada keharmonian keluarga.

Allah juga mentaklifkan wanita sama dengan lelaki dalam memakmurkan bumi sebagai khalifah dan tanggungjawab yang sama juga dalam mentarbiah dan mendidik anak-anak, membina negara dan sebagainya.

Justeru, wanita mesti dimuliakan, dihargai, digauli dengan kasih sayang dan rahmat, ditunaikan hak-hak mereka yang wajib dan yang sunat. Bukan untuk dikasari, dizalimi dan didiskriminasi dan jangan tinggalkan tanpa peduli. Nabi S.A.W bersabda:

- Advertisement -

أَكْمَلُ المُؤْمِنِينَ إِيمَانًا ‌أَحْسَنُهُمْ ‌خُلُقًا، وَخَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِنِسَائِهِمْ

Orang-orang beriman yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik manusia ialah yang paling baik muamalahnya terhadap wanita.”

(Tirmizi)

Di zaman jahiliah, wanita dizalimi, didiskriminasi, bahkan dianggap mendatangkan sial sehingga dibunuh tanpa sebab dan dosa sebagaimana disebut di dalam al-Quran:

وَإِذَا ٱلۡمَوۡءُۥدَةُ سُئِلَتۡ .  بِأَيِّ ذَنۢبٖ قُتِلَتۡ .

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup, ditanya, dengan dosa apakah dia dibunuh?”

(at-Takwir: 8-9)

Islam datang memurnikan fahaman dan tanggapan buruk terhadap wanita. Islam datang mengajar cara yang betul menggauli dan menghargai golongan wanita. 

Islam mengajar bagaimana memposisikan mereka ditempat yang layak bagi mereka.

Sesungguhnya sifat kelembutan, keibuan yang ada pada wanita bukanlah satu halangan untuk bangkit menghadapi cabaran, malah di sebalik kelembutan itu tersimpan kekuatan yang utuh dan bersemangat waja.

DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 14/6/2022

- Advertisement -