KSN minta contohi Kedah berjaya tarik pelabur

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kejayaan kerajaan Kedah menarik pelaburan ke negeri itu wajar dicontohi dan diteladani negeri-negeri lain.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pengurusan pelaburan dan memudah cara yang dilaksanakan Kedah perlu dijadikan penanda aras bagi menarik lebih ramai pelabur asing ke negara ini.

Menurutnya kaedah lama serta peraturan yang ketinggalan perlu diperbaiki supaya tidak menyulitkan pelabur untuk datang melabur.

- Advertisement -

“Perkara ini memerlukan kepimpinan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kaedah lama kelulusan dari segi permit mengambil masa yang lama tidak lagi sesuai.

“Sekiranya sistem lama terus diamalkan ia secara tidak langsung menyulitkan pelabur,” katanya selepas merasmikan Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Kedah di Star City Hotel semalam.

Sebelum ini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumum Kedah sebagai negeri yang menerima pelaburan tertinggi di Malaysia antara Januari hingga September 2021 dengan nilai keseluruhan RM57.1 bilion.

Kedudukan itu mengatasi Sarawak di tempat kedua dengan nilai pelaburan RM23.9 bilion, diikuti Kuala Lumpur RM22.5 bilion.

Mohd Zuki juga berkata, kejayaan Kedah merupakan perkara penting bagi menggerakkan sektor perniagaan dalam memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat wabak terbabit.

Turut hadir pada program berkenaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato’ Abdul Latif Abu Seman.

Sebelum ini Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu Kedah berjaya memperolehi pelaburan sebanyak RM68.3 bilion tahun lalu dan melebihi sasaran RM10 bilion setiap tahun. – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -