Hantar nota bantahan diplomatik kepada India

- Advertisement -

BEBERAPA hari lepas, dunia dikejutkan oleh kenyataan biadab di televisyen yang dikeluarkan oleh jurucakap parti pemerintah Republik India, Bharatiya Janata Party (BJP), Nupur Sharma dan ketua bahagian operasi media BJP di Delhi, Naveen Jindal. Kenyataan tersebut secara terang-terangan  menghina Nabi Muhammad S.A.W dan Saidatina Aishah itu berlaku walaupun negara Asia Selatan itu diketahui umum memiliki 200 juta penganut agama Islam iaitu kedua terbesar di dunia selepas negara Indonesia.

Parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Narendra Modi jelas tidak menghormati sensitiviti rakyat beragama Islam di negara tersebut dan negara-negara Islam di seluruh dunia dengan kenyataan provokasi ini. Selain itu, telah terbukti sudah berlaku banyak kali siri penghinaan terhadap agama Islam telah berlaku seperti kenyataan dari Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adiyanath yang menyatakan kewujudan orang Islam di India tidak memberi manfaat di negara tersebut kerana mereka tidak menentang pembentukan negara Pakistan pada tahun 1947.

Walaupun Bharatiya Janata Party (BJP) telah mengambil tindakan dengan menggantung dan memecat ahli parti yang melakukan provokasi tersebut, tiada permohonan maaf dikeluarkan oleh media rasmi parti tersebut. Bahkan, tiada jaminan yang dinyatakan oleh parti mahupun Kerajaan India bahawa tindakan biadab ini tidak akan berulang lagi. Sehingga kini, beberapa negara seperti Kuwait, Qatar dan Oman telah menyatakan bantahan secara rasmi terhadap Kerajaan India serta meminta Duta India di negara masing-masing memberikan penjelasan rasmi.

Oleh itu, saya ingin menggesa Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra menyertai negara-negara Islam yang lain-lain dengan menghantar nota bantahan secara rasmi kepada Kerajaan India dalam masa terdekat ini.  Tindakan ini harus dilakukan segera bagi memberi tekanan hebat kepada Kerajaan India agar lebih sensitif dan tidak mencampuri urusan yang melibatkan penganut agama Islam seramai 1.2 bilion ini.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -