Iktibar agung surah al-Isra’ (2)

- Advertisement -

ALLAH S.W.T mengurniakan kitab suci yang menjadi petunjuk dan pedoman kepada Bani Israel. Bani Israel ialah golongan yang datang daripada keturunan selepas Nabi Nuh A.S. Apabila berlaku taufan yang besar semasa zaman Nabi Nuh A.S, semua makhluk meninggal dunia kecuali yang berada di dalam kapal Nabi Nuh A.S termasuk binatang-binatang yang telah dipilih. Menelusuri sirah di mana sebelum berlakunya taufan dan setelah kapal siap dibuat, Nabi Nuh A.S mengajak semua pengikutnya seramai lebih kurang 70 orang. Kemudian, Allah S.W.T memerintahkan supaya Nabi Nuh A.S memilih binatang secara berpasang-pasangan. Jenis binatang yang dipilih itu tidaklah dinyatakan secara terperinci, cuma terdapat sesetengah riwayat menyatakan binatang tersebut ialah gajah, kuda dan burung serta tikus yang mencuri masuk ke dalam kapal. Makhluk yang hidup atau terselamat pada ketika itu membiak dan berkembang sehingga zaman Bani Israel:

- Advertisement -

وَقَضَيْنَآ إِلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ فِى ٱلْكِتَٰبِ لَتُفْسِدُنَّ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا

“Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.”

(al-Isra’: 4)

Allah S.W.T telah menyebut di dalam kitab Taurat mengenai kisah hidup Bani Israel yang mendiami bumi Palestin. Hidup mereka merantau. Akhirnya dengan pimpinan Nabi Daud A.S dan juga Nabi Sulaiman A.S, ditakdirkan mereka telah menguasai Palestin. Dalam sejarah, Bani Israel selalu berperang sesama sendiri. Seorang Raja Babylon yang terkenal telah membina istana dan pokok yang tinggi. Beliau telah menyerang dan berjaya membunuh ramai ketua Bani Israel. Mereka ditawan dan ditakluk serta dibawa ke Babylon dan sebahagiannya dijadikan sebagai hamba di Mesir. Oleh itu, Nabi Musa A.S diutuskan kepada Bani Israel yang berada di Mesir dan Baginda menjadi hamba atau buruh kepada Firaun.

Terdapat dua kerosakan besar yang dilakukan oleh Bani Israel. Mereka bersikap sombong dan melampau-lampau. Selain menolak ajaran agama Islam, Bani Israel juga membunuh Nabi-nabi antaranya yang masyhur, iaitu Nabi Zakaria A.S dan anaknya, Nabi Yahya A.S. Ketika Nabi Zakaria A.S dikejar, Baginda bersembunyi di dalam pokok kayu. Satu pokok kayu terbelah dan terbuka lalu memanggil Baginda untuk masuk ke dalamnya. Bani Israel mencarinya tetapi tidak dijumpai. Namun, syaitan memberitahu kepada Bani Israel di mana tempat persembunyian Nabi Zakaria A.S. Lantas, pokok tersebut ditebang lalu Baginda meninggal dunia. Ada riwayat yang menyatakan bahawa pokok tersebut digergaji sehingga putus badan Baginda. 

Adapun Nabi Yahya A.S dibunuh oleh King Herod tetapi disebut bahawa Baginda ditangkap adalah kerana Bani Israel yang menangkap dan menyerahkannya kepada King Herod di Palestin. Baginda dibunuh dengan dipancung kepalanya serta kepalanya dimasukkan ke dalam pokok dan dipersembahkan di hadapan raja. Oleh sebab itu, terdapat dua kubur Nabi Yahya, iaitu di Damsyik, Syria dan di atas bukit di sempadan antara Jordan dan Israel. Dalam tradisi Kristian, Nabi Yahya digelar sebagai ‘John The Baptist’. Penganutnya yang ingin beriman kepada Baginda perlu masuk ke dalam sungai dan mandi terlebih dahulu ibarat menyucikan diri daripada dosa. Inilah antara kejahatan yang dilakukan oleh Bani Israel. Jauh bezanya dengan kaum Nabi-nabi lain di mana mereka hanya melawan Nabi dan tidak sampai tahap membunuh. 

… (rakaman putus)

فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ أُولَىٰهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَّنَآ أُو۟لِى بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا۟ خِلَٰلَ ٱلدِّيَارِ وَكَانَ وَعْدًا مَّفْعُولًا

“Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.”

(al-Isra’: 5)

Allah S.W.T mentakdirkan bahawa Bani Israel bangkit semula di bawah pimpinan seorang Nabi di mana kedudukannya setaraf dengan ulamak-ulamak pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Mereka berperang dengan Babylon dan menang. Kemudian, mereka kalah dengan Firaun serta puluhan ribu orang ditawan, dibawa ke Mesir dan mereka dijadikan sebagai buruh kasar. Inilah balasan Allah S.W.T kepada mereka:

ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ ٱلْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَٰكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَٰكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا

“Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.”

(al-Isra’: 6)

Apabila musuh menyerang suatu kaum, ia merupakan balasan Allah S.W.T. Sebab Bani Israel diserang oleh tentera Babylon dan kerajaan Rom adalah kerana kejahatan mereka sendiri. Allah S.W.T membalas kejahatan mereka dengan penyerangan oleh musuh dan akhirnya kalah. Jika kita berbuat kebaikan, Allah S.W.T akan membalas dengan kebaikan dan sebaliknya.

Dalam agama Hindu, dinyatakan bahawa sesuatu yang berlaku di dunia merupakan suatu ‘reflection’ (pantulan) kepada kita. Kehidupan kita ibarat dikelilingi oleh cermin. Oleh itu, agama Hindu mengajar kepada penganutnya supaya sentiasa berbuat kebaikan. Jangan berbuat kejahatan kerana akibatnya akan berlaku karma.

Dalam Islam juga, kita disuruh untuk berbuat kebaikan dan amal soleh serta meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. Amal soleh yang dilaksanakan akan menatijahkan hasil yang baik kepada kita. Misalnya, kita menolong orang lain, orang lain pula akan menolong kita. Kita jujur dengan orang lain, orang lain juga akan jujur dengan kita. Kita ikhlas dengan orang lain, orang lain pun akan ikhlas dengan kita. 

Begitu juga apabila hubungan kita baik dengan Allah S.W.T, maka baiklah kehidupan kita. Jika kita berbuat perkara yang tidak baik, Allah S.W.T akan menjatuhkan hukuman kepada kita. Misalnya, beberapa kerajaan Islam dahulu telah jatuh akibat pemimpin yang melanggar agama. Para pemimpin yang tidak mengamalkan agama dan orang bawahannya hanya mengikuti pemimpin mereka. Jika pemimpin tidak baik, maka orang bawahan juga tidak baik dan sebaliknya kerana pemimpin menjadi contoh kepada rakyat. 

Punca kejatuhan kerajaan Islam dahulu adalah disebabkan oleh raja yang hidup suka berfoya-foya dan mewah. Semasa zaman akhir pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyah, rajanya mempunyai seratus orang lebih gundik yang terdiri daripada pelbagai jenis bangsa. Mempunyai bilik khas bagi gundik tersebut. Kalau difikir-fikirkan, kita yang mempunyai seorang isteri pun tidak sempat nak ambil peduli. Begitu juga dengan kejatuhan kerajaan lain misalnya, kerajaan akhir di Sepanyol, iaitu Andalus. 

Justeru, amat penting untuk kita semua untuk menjaga ajaran-ajaran agama. Apabila kita telah menjadi kerajaan dan mempunyai kuasa, kita mestilah berusaha supaya ajaran-ajaran Islam dilaksanakan dan hidup subur dalam masyarakat. Jika tidak, bala akan turun walaupun negara itu ialah negara yang maju dan hebat tamadunnya. Oleh sebab itu, kita jangan terpengaruh dengan pemikiran Barat yang mementingkan pembangunan kebendaan seperti bangunan, pencakar langit dan sebagainya, sedangkan rakyat rosak dari segi minda dan jiwanya dan tidak hidup dengan agama. 

Inilah cabaran zaman moden pada hari ini bagaimana kita ingin memerintah negara supaya boleh berdepan dengan zaman di mana ekonomi bagus, teknologi hebat serta pada masa yang sama, rakyat tidak lari daripada agama. Perkara ini bukan mudah kerana teknologi hadir dengan falsafah atau pegangannya tersendiri. Misalnya, kilang dari Jepun membawa falsafah Jepun dalam bab pengurusan atau perjalanan kilang tersebut. Pada peringkat awal, bagi kilang yang dimiliki oleh orang bukan-Islam, solat tidak dibenarkan. Sehinggalah kerajaan terpaksa mengeluarkan suatu peraturan agar mana-mana syarikat atau kilang hendaklah memberikan kelonggaran kepada pekerja-pekerja Islam untuk menunaikan solat Jumaat. Dia tidak peduli akan hal ibadah kerana hanya memikirkan mengenai ‘production’, produktiviti dan kualiti. Suatu ketika dahulu ketika kilang-kilang dibuka di Pulau Pinang, ramai orang Melayu mendapat pekerjaan di sana, Alhamdulillah. Namun, pergaulan bebas begitu berleluasa. Ramai yang melahirkan anak luar nikah dan anak tersebut dibuang ke dalam tong sampah dan ditinggalkan di tepi jalan.

Begitu juga dengan media sosial pada zaman kini seperti Tiktok, Whatsapp dan sebagainya. Semua ini teknologi tetapi yang menciptanya mempunyai agenda tersendiri. Kebanyakan yang menggunakannya ke arah yang tidak baik kerana kita diberi ruang untuk menggunakannya sebebas-bebasnya. Oleh itu, kita sebagai orang yang beriman ketika menerima teknologi hendaklah disaring dan memastikan kandungan dan penggunaannya menepati syariat. Kita mesti memanfaatkan dengan baik untuk kepentingan diri kita tetapi hari ini ramai yang terikut-ikut. Oleh itu, asasnya mengamalkan agama adalah jalan keselamatan dalam hidup. Jika tidak, bala akan turun seperti kenaikan harga barang, kemarau, banjir besar, ribut taufan, puting beliung, kezaliman pemerintah, penyakit pelik dan sebagainya. Inilah hukuman Allah S.W.T kepada kita apabila kita hidup tidak mengikuti ajaran Islam agar kita sedar dan berubah  tetapi kita asyik menyalahkan orang lain. 

Misalnya, apabila ditimpa sakit, orang beriman akan berfikir kenapa dia ditimpa sakit, adakah kerana banyak dosa yang telah dilakukan? Bukannya kenapa hanya dia yang sakit, orang lain tidak sakit? Ini kerana dia tidak pernah berasa dirinya salah. Apabila kita tidak berasa diri kita salah, kita tidak akan pernah memperbetulkan diri kita. Tetapi apabila kita fikir, boleh jadi kita banyak buat jahat, solat tidak sempurna, tiada solat sunat dan solat lewat waktu, maka Allah uji kita begini. Jadi dengan demikian, kita akan memperbetulkan semula diri kita daripada tidak baik kepada baik:

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ ٱلْءَاخِرَةِ لِيَسُۥٓـُٔوا۟ وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا۟ ٱلْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا۟ مَا عَلَوْا۟ تَتْبِيرًا

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.”

(al-Isra’: 7)

Apabila Nabi Muhammad S.A.W berhijrah ke Madinah, orang Yahudi seramai lebih kurang 5,000 orang manakala orang Islam sekitar 1,000 orang. Semasa Perang Badar, orang Islam hanya seramai 313 orang sahaja kerana bakinya tidak layak untuk berperang. Orang Yahudi di mana antaranya terdapat 3 kabilah besar, iaitu Bani Nadhir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa’ yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W dan mengkhianati orang Islam. 

Akhirnya, terdapat satu kabilah yang mengaku kalah dan berserah diri apabila dikepung oleh Rasulullah S.A.W. Terdapat seorang Sahabat Baginda S.A.W dalam kalangan Ansar bertanyakan hukuman terhadap orang Yahudi tersebut sama ada ingin dibunuh kesemua lelaki (… rakaman putus seketika). Ini kerana mereka terlalu jahat dan melanggar perjanjian yang telah dibuat.

Rasulullah S.A.W mengusir keluar kabilah lain dari Madinah dan harta mereka dirampas. Sehinggakan pada hari ini di Madinah tiada seorang pun orang Yahudi kerana sebahagiannya dibunuh dan sebahagian lain diusir keluar. Akhir sekali, mereka berhimpun di Khaibar. Khaibar merupakan kubu Yahudi yang terakhir di Semenanjung Tanah Arab. Mereka dijatuhkan oleh tentera Islam dan akhirnya tiada lagi Yahudi yang tinggal di Tanah Arab. Khaibar adalah kejatuhan terakhir orang Yahudi.

Begitu juga dengan orang yang beragama Hindu di Jawa yang dikalahkan semasa zaman pemerintahan Wali Sembilan. Mereka yang berhimpun di Bali telah diusir keluar. Pada awalnya, Bali dipenuhi dengan seratus peratus orang Hindu yang tetap tidak mahu beriman. Akhirnya, Sunan Bonang dengan kesaktiannya memasukkan satu kampung tersebut ke dalam alam ghaib.

Pada zaman moden, orang Yahudi berbuat jahat di Eropah sehingga menyebabkan Eropah susah dari segi penguasaan ekonomi dan riba diperkenalkan. Oleh sebab itu, Hitler membunuh orang Yahudi walaupun perbuatannya itu tidak kita setujui tetapi dia ada sebab tertentu. Hitler menangkap, menembak dan mengurung mereka di dalam bilik serta melepaskan gas sehingga mati. Peristiwa ini disebut sebagai ‘The Holocaust’. Hampir semua orang Yahudi ditangkap namun ada sebahagiannya melarikan diri ke China secara sulit kerana takut dibunuh. Hitler memang ingin membunuh semua orang Yahudi walaupun bukan semuanya jahat. 

Shakespeare yang merupakan penulis terkenal telah menulis buku yang berjudul ‘The Merchant of Venice’. Buku tersebut menceritakan mengenai saudagar Yahudi yang bernama Shylock. Shylock ialah seorang yang kaya dan memberikan hutang kepada orang lain. Jika orang tidak mampu membayar hutangnya, dia akan merampas harta termasuk anak dan isteri. Jika masih tidak mampu membayarnya, dia akan memotong daging sebanyak mana hutangnya. Jahatnya kelakuan bangsa Yahudi sepertimana yang telah Allah S.W.T sebutkan di dalam Al-Quran:

عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يَرْحَمَكُمْ وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا وَجَعَلْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَٰفِرِينَ حَصِيرًا

“Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).”

(al-Isra’: 8)

Allah S.W.T memberitahu bahawa al-Quran yang diutuskan kepada Nabi Muhammad S.A.W menjadi petunjuk ke arah jalan yang lurus kepada umat Islam khususnya. Kita hidup di dunia memerlukan peta, ‘signboard’ dan ‘guide’ supaya kita boleh hidup dengan baik. Sepertimana kita pergi ke tempat yang tidak dikenali atau melancong ke mana-mana negara, kita memerlukan ‘tourist guide’ atau peta, membaca buku dan kadang-kadang kita belajar bahasa negara tersebut supaya kita tidak sesat. Kalau tidak, susah juga kita nak mengenalpasti mana satu kedai yang halal atau haram. Jadi, kita memerlukan panduan dalam kehidupan. 

Begitu juga dengan kitab suci yang menjadi panduan kepada kita, iaitu Al-Quran dan ‘tourist guide’ kita pula ialah Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran diturunkan bertujuan supaya kita boleh hidup dengan baik dan betul serta dalam keredhaanNya. Oleh sebab itu, apabila perkara yang berkaitan dengan agama, kita tidak mampu menggunakan akal semata-mata kerana akal kita mempunyai hadnya. Kita tidak mengetahui mana satu perkara baik atau buruk jika Allah S.W.T tidak memberitahu kepada kita. Misalnya, perbuatan mencuri itu salah kerana Allah S.W.T yang memberitahunya. Jika biarkan kepada kita untuk menentukannya, perbuatan mencuri tidak menjadi salah kerana boleh mendapat barang secara percuma. Namun, agama telah menetapkan ia adalah salah. Begitu juga dengan perbuatan mengkhianati orang lain dan makan harta anak yatim:

إِنَّ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

(al-Isra’: 9)

Ganjaran syurga di hari akhirat nanti adalah kepada orang yang beriman dan beramal soleh. Dua syarat untuk memasuki syurga, iaitu iman dan perbuatan mengerjakan amal baik. Amal soleh merangkumi segala perkara yang Allah S.W.T perintahkan seperti solat dan puasa. Tidak semestinya kena masuk hutan, bertapa dan beribadah sepanjang masa atau membaca Al-Quran di mana sahaja sehingga di dalam tandas pun membaca isti’azah sebab dikatakan bahawa membaca Al-Quran adalah bagus. 

Menurut ulamak, amal soleh adalah perkara yang disebut di dalam al-Quran dan sesuai dengan tempat dan masa. Misalnya, sambil memandu tiba-tiba terdengar laungan azan. Kita memberhentikan kenderaan di tengah-tengah jalan dan turun daripada kenderaan lalu menghampar sejadah untuk menunaikan solat. Perbuatan ini tidak menjadi amal soleh walaupun ia baik tetapi tidak sesuai dengan tempat. Contoh lain, kita sedang mengerjakan solat di tepi sungai, tiba-tiba ada orang lemas. Menurut ulamak, pada ketika itu amal soleh adalah memberhentikan atau membatalkan solat dan membantu mangsa lemas tersebut. Kemudian, sambunglah solat tadi. Bukannya kita menghabiskan solat dahulu, kemudian baru membantu orang yang lemas. Selain itu, contoh lain adalah ketika kita sedang mengerjakan solat, tiba-tiba ada ular berbisa yang ingin mematuk kita. Amal soleh pada ketika itu adalah memberhentikan solat dan memukul ular tersebut, bukannya bertawakal sahaja. 

Begitu juga ada perkara yang tidak boleh buat sesuka hati. Contohnya, apabila hendak bergaul dengan isteri, bergaullah tetapi tidak boleh melakukannya di wakaf dan pada siang hari pula.

Oleh sebab itu, sesetengah daripada kita berasa susah dan berat dengan agama kerana kita tidak memahaminya dengan baik. Islam adalah agama yang mudah. Misalnya, jika tidak boleh berwuduk, kita boleh bertayammum. Jika tidak boleh berdiri ketika solat, kita boleh duduk atas kerusi. Jika tidak mampu, kita boleh duduk di atas lantai. Jika tidak mampu, kita boleh berbaring.

Jika solat di atas kapal terbang, solatlah dengan duduk di atas kerusi dan menggunakan isyarat dan tanpa wuduk pun tidak mengapa sekiranya tiada ruang solat disediakan. Kita menunaikan solat pada ketika itu untuk menghormati waktu. Kemudian, apabila sampai di destinasi, kita gantilah solat tadi. 

Memakai serban adalah bagus kerana mengikuti sunnah. Tetapi, ada sesetengah orang terlepas rakaat pertama kerana belum selesai melilit serban di atas kepala. Dari segi hukum, takbiratul ihram adalah yang afdhal. Sesiapa yang sempat dengan takbiratul ihram imam, dia akan memperoleh pahala yang cukup besar dalam solat berjemaah. 

Banyak lagi perkara lain yang perlu kita amati daripada membuang masa dengan bertelagah terhadap isu yang remeh-temeh. Tidak bersetuju dengan ustaz itu, tidak bersetuju dengan ustaz ini. Berbalah mengenai rakaat solat tarawih sama ada 8 atau 20 rakaat, padahal dua-dua boleh belaka. Yang mengerjakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat mengatakan kepada yang mengerjakan sebanyak 8 rakaat adalah Wahabi dan yang mengerjakan sebanyak 8 rakaat mengatakan kepada yang mengerjakan sebanyak 20 rakaat adalah Bid’ah. Yang betulnya adalah kita sama-sama menunaikan solat. Yang tidak betulnya adalah kita tidak mengerjakan terus solat tarawih. Ada mazhab yang menyuruh untuk mengerjakan solat tarawih sebanyak 36 rakaat. 

Hakikatnya, perkara besar yang perlu kita fikir adalah untuk kepentingan ummah seperti mengenai orang kafir yang menentang Islam dan perancangan musuh untuk menjatuhkan Islam. Akibat bertelagah akan hal remeh, yang menjadi mangsa adalah orang awam. Sehingga ada yang tidak mahu pergi ke masjid disebabkan oleh sikap asatizah yang pelik. 

Perkara ijtihad boleh dipertimbangkan kecuali dalam bab akidah. Asas kepada akidah ada tiga, iaitu percaya kepada Allah, percaya kepada Nabi dan percaya kepada hari akhirat. Selagi perkara yang terperinci dalam tafsiran tidak bercanggah dengan prinsip, maka ia tidak menjadi masalah. Hal ini kerana perbezaan pandangan bermula sejak zaman Baginda Rasulullah S.A.W, para Sahabat dan juga ulamak. 

Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal yang merupakan ulamak yang baik turut berbeza pandangan dalam bab solat misalnya, Imam Ahmad mengatakan bahawa sesiapa yang meninggalkan solat, maka ia jatuh kafir sama ada secara sengaja atau tidak dan ingkar atau tidak. Bagi Imam Syafie pula, sesiapa yang meninggalkan solat tidak jatuh kafir kecuali jika dia ingkar dengan menyebut ‘tidak wajib solat ni’ atau ‘solat apa waktu-waktu sibuk ni, lebih baik cari duit’. Tetapi, jika tidak mengerjakan solat kerana malas, dia jadi fasik sahaja. Dalam bab batal wuduk pula, ada mazhab yang mengatakan bahawa wuduk batal sekiranya memegang zakar dan ada mazhab yang mengatakan tidak batal. Begitu juga dalam bab aurat, ada mazhab yang mengatakan aurat antara pusat dan lutut, pusat dan lutut tidak termasuk dalam aurat.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 6 Jun 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 10/6/2022

- Advertisement -