Kerajaan negeri tidak kompromi atlet laku kesalahan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kelantan tidak berkompromi terhadap sebarang isu salah laku termasuk yang melibatkan mana-mana atlet sekiranya didapati melakukan sesuatu kesalahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat beliau demikian sebagai mengulas berhubung seorang pemain bola sepak negeri itu ditahan atas dakwaan merogol seorang remaja perempuan, Ahad lalu.

“Kita serahkan kepada pihak pengurusan pasukan bolasepak terbabit untuk membuat siasatan. Lagipun kes tersebut dalam siasatan polis. Saya pun tidak dapat maklumat secara rasmi lagi.

- Advertisement -

“Dalam pembangunan sukan di negeri ini, pelbagai perkara dititikberatkan terutama dalam aspek pematuhan syariah, disipilin dan sebagainya.

“Justeru, sekiranya didapati atau terbukti bersalah kita tidak akan berkompromi dan tindakan segera akan diambil termasuk kemungkinan disingkirkan daripada pasukan atau sebaliknya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Negeri di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Wan Roslan berkata, pihaknya meminta pihak pengurusan mengambil tindakan yang perlu terhadap mana-mana pemain yang melanggar disiplin ditetapkan.

“Saya pun tidak tahu lagi daripada pasukan mana dan hanya sekadar mendapat makluman umum sahaja. Apa pun perlu tunggu keputusan siasatan.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Kelantan Dato Muhamad Zaki Harun memaklumkan pihaknya menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan polis. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -