Kelantan catat aduan paling rendah diterima EAIC

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF|Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kelantan antara negeri yang mencatat jumlah aduan paling rendah yang diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tahun ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat EAIC, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed berkata, EAIC bertanggungjawab menjalankan siasatan terhadap aduan berhubung kesalahan penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Katanya, di bawah EAIC terdapat 21 agensi yang dikawal selia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

- Advertisement -

“EAIC mempunyai pelbagai saluran untuk membuat aduan di mana individu boleh menghubungi EAIC secara terus, menghantar e-mel dan melalui saluran e-aduan.

“Kami akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penerangan untuk menyebarluaskan peranan EAIC,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sembang Santai bersama EAIC di sebuah hotel di sini, semalam.

Tengku Nasaruddin berkata, dengan adanya saluran yang disediakan membolehkan masyarakat lebih mudah membuat aduan menerusi media sosial.

Katanya juga EAIC memerlukan maklumat lengkap pengadu serta aduan yang dibuat untuk memudahkan siasatan dijalankan.

Menurutnya juga Kelantan merupakan negeri pertama dilaksanakan kempen E.R.A.T EAIC bagi memastikan masyarakat di negeri itu mengenali dan memahami fungsi serta peranan EAIC.

Kata beliau melalui kempen itu diharap dapat memupuk kesedaran dan mendedahkan masyarakat mengenai saluran bagi membolehkan mereka menyalurkan atau membuat sebarang aduan berhubung salah laku agensi penguatkuasaan.

“Kita mengadakan kempen selama empat sehingga 29 Mei ini. Kempen ini penting kerana berdasarkan pemerhatian kita masyarakat masih kurang jelas mengenai fungsi dan peranan EAIC.

“Kita memberi pendedahan tentang fungsi EAIC dan orang ramai mulai faham saluran yang boleh digunakan sekiranya ingin melaporkan sebarang kesalahan membabitkan agensi penguatkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -