Kawalan emosi dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz  17

BULAN-bulan haram iaitulah Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram merupakan bulan yang dihormati dan dimuliakan. Orang-orang Arab pada zaman jahiliah lagi sangat membesarkan kedatangan bulan-bulan ini. Walaupun mereka meninggalkan ajaran Nabi, tetapi mereka tetap memuliakan kedatangan bulan-bulan haram. Manakala jika berlaku peperangan didalam bulan ini, ia dipanggil sebagai perang Fijar iaitu memberi maksud sesuatu yang jahat dan tidak baik. Allah SWT menegaskan kepada tentera muslimin yang telah diserang pada bulan haram bahawa Dia akan menolong mereka diatas kejahatan yang dilakukan oleh musuh mereka. Firman Allah SWT:

۞ ذَ ٰ⁠لِكَۖ وَمَنۡ عَاقَبَ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبَ بِهِۦ ثُمَّ بُغِیَ عَلَیۡهِ لَیَنصُرَنَّهُ ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورࣱ

Maksudnya: “Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu), dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian dia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah) Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun”. (Al-Haj: 60)

- Advertisement -

Imam Ibnu Katsir dan juga Ibnu Jarir ada menyebut bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan satu sariyyah (pasukan khas) yang terdiri daripada kalangan sahabat. Mereka berhadapan dengan sejumlah pasukan kaum musyrikin di bulan Muharram. Kemudian kaum muslimin berseru kepada mereka untuk tidak mengadakan peperangan kerana berada di bulan haram, tetapi kaum musyrikin menolak dan tetap bersikap keras untuk berperang. Maka kaum muslimin terpaksa berhadapan dengan mereka dan Allah SWT memberikan kemenangan kepada kaum muslimin.

Berdasarkan pengajaran melalui ayat tersebut, dapat difahami bahawa kaum muslimin boleh melakukan perlawanan balas atau pembelaan diri sekiranya diperangi atau dizalimi. Allah SWT mengizinkan kepada orang-orang beriman untuk membela diri dengan adil dengan tidak melampaui batasan serangan yang dilakukan. Pembalasan atau serangan itu hendaklah sebanding dengan penganiayaan atau serangan yang musuh telah lakukan. Jika kaum muslimin dizalimi dan diserang lagi, sudah pasti Allah SWT akan menurunkan pertolongan-Nya.

Pada dasarnya, Islam adalah agama keamanan dan keharmonian. Islam bukan agama yang mencetuskan peperangan dan pergeseran dalam masyarakat. Nabi SAW telah menunjukkan qudwah yang sempurna ketika mentadbir negara Islam Madinah. Walaupun begitu, jika pihak musuh bertindak agresif dan berterusan menyerang kaum muslimin, Islam membenarkan pembalasan balik namun sepadan dengan perbuatan mereka. Suatu ketika, Ubai bin Khalaf bersumpah akan membunuh Nabi SAW, berita itu sampai kepada Nabi lalu Nabi menyatakan bahawa baginda akan turut membunuhnya. Imam Abdul Al-Razzaq Al-Shan’ani menyebut hal ini dalam Musannaf:

وَأَمَّا أُبَيُّ بْنُ خَلَفٍ ، فَقَالَ : وَاللَّهِ لَأَقْتُلَنَّ مُحَمَّدًا ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : بَلْ أَنَا أَقْتُلُهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Ubai bin Khalaf berkata: Demi Allah, aku pasti akan membunuh Muhammad, maka perkhabaran ini sampai kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata: bahkan aku yang akan membunuhnya, insya-Allah”.

Mengikut riwayat, itulah gerangan pemuka satu-satunya yang telah dibunuh sendiri oleh Nabi SAW dalam peperangan. Sudah tentu orang yang dibunuh oleh Rasulullah SAW ini mendapat kemurkaan dan seksaan Allah yang bersangatan dahsyat sebagaimana dalam hadis:

اشْتَدَّ غَضَبُ اللَّهِ عَلَى رَجُلٍ يَقْتُلُهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah SWT tersangat murka kepada seseorang yang telah dibunuh Rasulullah SAW ketika berjihad di jalan Allah SWT.” (Riwayat Bukhari)

Terlalu banyak nas Al-Quran yang mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada terhadap sikap golongan musyrikin yang sentiasa berazam untuk meneruskan cita-cita jahat mereka menindas dan memurtadkan orang Islam daripada ajaran Islam. Islam mempunyai disiplin dan garis panduan yang telah ditentukan dalam berhadapan dengan musuhnya. Walaupun kejahatan musuh itu keterlaluan, namun cara pembalasan yang dilakukan tidak sebagaimana perlakuan mereka. Inilah nilai keimanan dan integriti yang disematkan dalam keperibadian umat Islam supaya menjadi umat contoh dan teladan sepanjang zaman.

Oleh sebab itu, jika kita meneliti dalam pelaksanaan hukum qisas, semua tindakan hukuman bukanlah orang awam yang membalasnya sendiri tetapi dengan mengikut saluran yang betul di bawah pengawalan kerajaan agar keadilan itu dapat ditegakkan. Tiada istilah balas dendam dalam Islam, jadi apa sahaja unsur membalas dendam dalam bentuk kemungkaran sama seperti yang musuh lakukan adalah haram di sisi syarak. Jika menghina dibalas dengan hinaan, memukul dibalas dengan pukulan, mencuri dibalas dengan mencuri, maka kesemua ini diharamkan dan tidak boleh sama sekali menjadi pegangan umat Islam.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
17 Ramadhan 1443/19 April 2022 – HARAKAHDAILY 19/4/2022

- Advertisement -