70 negara sertai Minggu Al-Quds Sedunia

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Setiap tahun lebih 70 negara mengambil bahagian pada sambutan Minggu Al-Quds Sedunia, di mana tahun ini bermula 25 Februari.

Presiden Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa berkata, penganjuran Minggu al Quds Sedunia bagi memberi kesedaran kepada ummah tentang tanggungjawab membela bumi al-Quds.

- Advertisement -

Katanya, sambutan itu diadakan selama tujuh hari bagi memperingati kepentingan serta kedudukan Masjid al Aqsa dan Baitul Maqdis di sisi umat Islam.

“Kami di Malaysia merangka kempen itu melalui alam maya dan menyediakan teks khutbah yang diedarkan kepada semua pihak berkuasa agama di negara ini.

“Seluruh mimbar Jumaat akan bersuara tentang kedudukan Masjid al Aqsa dan Baitul Maqdis di sisi umat Islam, di mana ia sebagai simbol yang menyatukan seluruh umat Islam.

“Kami juga menggiatkan kempen memperingati Al Quds secara maya dengan hashtag termasuk Al-Quds Adalah Janji Kami dan banyak lagi,” katanya pada kenyataan di sini.

Wan Mohd Sharafi juga berkata, Baitul Maqdis mempunyai Masjid al Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam, terus diceroboh Yahudi Zionis sehingga sekarang.

Kata beliau juga biar pun jarak menjadi pemisah, namun atas dasar persaudaraan Islam, sebarang kekejaman serta kezaliman yang dilakukan tetap dapat dirasai umat Islam di Malaysia.

“Seluruh negara juga turut terdedah kepada bahaya pembubaran melalui pelaksanaan perjanjian abad ini, dan apa yang kita saksikan daripada demam normalisasi rasmi dengan entiti perampas kuasa,” ujarnya.

Oleh itu katanya rakyat Malaysia berbilang kaum diajak turut sama bersuara sebagai solidariti dunia antarabangsa menolak kezaliman rejim zionis Yahudi. – HARAKAHDAILY 23/2/2022

- Advertisement -