2022: Membina perpaduan ummah bersama kerajaan Keluarga Malaysia

- Advertisement -

TAHUN 2021 berakhir dengan pandemik COVID-19 yang masih belum reda manakala beberapa negeri pula dilanda bencana banjir akibat hujan yang turun pada kadar yang luar biasa bersekali dengan fenomena air pasang besar yang telah membawa kemusnahan harta benda termasuk meragut nyawa.

Kini kita masuk ke tahun baru 2022, mengikut beberapa pemerhati dan penganalisa politik 2022 menyemarakkan bahang Pilihan Raya Umum yang mungkin dipanggil tahun ini atau tahun hadapan. Oleh itu fokus 2022 sudah pastilah tertumpu ke arah PRU dan masa depan politik negara pasca PRU15 nanti.

- Advertisement -

Cuma suatu yang kelihatan ketara berubah dengan berubahnya tahun adalah bentuk politik dalam negara. Malaysia bukan lagi di zaman pasca Merdeka 50-an ke 60-an atau zaman pembangunan 70-an dan selanjutnya. Tetapi Malaysia kini mencecah tahun 2022, di mana tuntutan rakyat telah banyak berbeza dan politik itu sendiri turut berubah mengikut keadaan dan perkembangan semasa.

Sejak PRU14 dan perubahan kuasa di Putrajaya serta beberapa negeri lain, kuasa politik yang menjadi teraju negara berubah. Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional yang memerintah negara dan sebahagian besar negeri-negeri sejak Merdeka telah hilang pengaruh dan naik berkuasa suatu kumpulan baru yang dikenali Pakatan Harapan.

Dengan takdir Allah S.W.T Kerajaan PH ini pun cuma mampu bertahan 22 bulan, kemudiannya hilang kuasa apabila Perdana Menterinya meletak jawatan secara mengejut. Naik pula Kerajaan Perikatan Nasional yang menggabungkan BN, PAS, BERSATU dan lain-lain ketika itu.

Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri juga tak bertahan lama kemudiannya pada 20 Ogos 2021 digantikan dengan Dato’ Sri Ismail Sabri yang mewakili BN yang telah memperkenalkan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ iaitu gabungan parti-parti yang sama sewaktu Muhyiddin Perdana Menteri tetapi dengan beliau mewakili BN sebagai Perdana Menteri.

Demikianlah dalam tempoh tidak sampai sepenggal Malaysia melihat perubahan kerajaan dan 3 Perdana Menteri silih berganti. Politik Malaysia sudah tidak lagi seperti sebelumnya dan dengan trend yang ada, mustahil ia boleh kembali seperti dahulu.

Maksudnya bergerak ke hadapan, tidak akan ada lagi dominasi satu-satu parti sekurang-kurangnya di Putrajaya. Parti-parti politik yang ingin menawarkan diri duduk di Putrajaya perlulah mengemukakan suatu permuafakatan politik yang meyakinkan sehingga boleh menawan hati rakyat untuk mereka sokong dan angkat sebagai Kerajaan Persekutuan.

Bagi mereka yang memperjuangkan perpaduan ummah sudah pastilah melihat perkembangan ini sebagai suatu peluang untuk menyatukan kembali parti-parti politik Melayu Bumiputera Islam, supaya jangan lagi berpecah tetapi bernaung di bawah satu payung besar demi mempertahan dan memartabatkan kedaulatan Islam dan kesejahteraan negara.

Jangan lagi rakyat khususnya umat Melayu Islam dihukum lantaran kegagalan parti-parti yang mewakili mereka bermuafakat dan bersatu sehingga akhirnya terpaksa bertanding tiga atau lebih penjuru yang membuka ruang kepada musuh-musuh penyatuan ummah kembali naik berkuasa seperti dahulu.

Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang dipelopori Perdana Menteri Ismail Sabri sesungguhnya adalah langkah berani ke arah melupuskan kerajaan yang didominasi mana-mana parti politik, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembelaan nasib rakyat tanpa menekankan kepentingan kepartian semata-mata.

Dalam hal ini AJK PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di dalam laman Facebooknya menulis: “YB Dato’ Sri Ismail Sabri mengambil langkah berbeza dari trend sebelumnya apabila pantas mengisytiharkan bahawa kerajaan yang diterajui oleh beliau adalah Kerajaan Malaysia, bukan lagi kerajaan yang berasaskan nama komponen parti pemerintah”

Nasrudin menambah: “Saya percaya langkah sedemikian adalah bertujuan untuk menyatukan parti-parti yang memerintah dan meredakan perbedaan serta mengendurkan ketegangan antara parti-parti dalam kerajaan sendiri.”

Sejujurnya inilah yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia hari ini, setelah hampir 65 tahun Merdeka, rakyat mahukan segala bentuk ketegangan akibat perbezaan politik dikendur atau dihapuskan sama sekali. Rakyat mahu mereka dipimpin oleh sebuah kerajaan yang inklusif, berintegriti, tidak ekstrem dan yang pentingnya mewakili komposisi majoriti rakyat dalam negara, bukannya kerajaan didominasi golongan minoriti.

Mereka sudah memberi peluang dan menyaksikan kemampuan PH selama 22 bulan, mereka hampir pasti tidak mahu ianya berulang lagi.

Malah Muzakarah Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada Rabu 29 Disember 2021 turut menyelami keperluan ini sehingga bersetuju untuk menegaskan kepentingan ‘Memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional’ dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

Kerajaan Malaysia atau ‘Keluarga Malaysia’ yang kini dianggotai BN, PN, GPS termasuklah PAS adalah model kerajaan perpaduan yang terbaik yang sewajarnya diperkukuhkan demi kepentingan dan kestabilan rakyat dan negara. Ianya memusatkan kuasa politik umat Islam selain memuatkan juga perwakilan bukan-Islam yang tidak ekstrem dan selesa bekerjasama dengannya demi negara Malaysia yang tercinta.

Nasrudin menambah lagi: “Peluang untuk menyatukan ummah lebih mudah dan selesa. Selepas ini tiada lagi Kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Apa yang ada ialah Kerajaan Malaysia atau ‘Keluarga Malaysia’ dan seluruh rakyat Malaysia merasai bahawa ini adalah kerajaan mereka bersama.

Kita mengharapkan tahun 2022 dan seterusnya membawa perubahan total pada landskap politik Malaysia, satu perubahan yang membina kekuatan ummah dan membawa laba serta keuntungan buat semua. Politik Malaysia akan kembali stabil sehingga kerajaan mampu membawa kesejahteraan buat keseluruhan rakyatnya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1677152302624099/

- Advertisement -