UAE bantu anggota veteran ATM terkesan banjir

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyalur sumbangan berbentuk barang keperluan asas khusus untuk anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan akibat banjir.

Sumbangan serupa juga diberi kepada kakitangan awam Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, sumbangan itu akan memberi manfaat kepada 775 keluarga yang melibatkan lebih 3,000 individu.

- Advertisement -

Katanya, sumbangan yang diberi merupakan barangan keperluan asas termasuk sejadah, al-Quran, telekung, bakul makanan dan kelengkapan barangan pembersihan.

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia, MINDEF dan ATM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan UAE kerana sentiasa bersama- sama Malaysia ketika negara ini ditimpa musibah.

“Ia bukan sahaja membuktikan keprihatinan Kerajaan UAE tetapi juga menyerlahkan keakraban hubungan dua hala antara kedua-dua negara sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita.

Sebelum itu beliau mendengar taklimat daripada agensi yang terlibat dengan persediaan banjir gelombang kedua di Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, sumbangan yang diterima itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meringankan beban anggota dan warga awam MINDEF.

Katanya, turut diberi keutamaan membantu veteran-veteran ATM yang terkesan akibat banjir di beberapa negeri. – HARAKAHDAILY 30/12/2021

- Advertisement -