ATM gerak anggota ke 86 lokasi di seluruh negara

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatur gerak anggota dan aset ke 86 lokasi di seluruh negara bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi berkaitan menghadapi banjir gelombang kedua.

Antara aset yang turut disediakan iaitu sebanyak 6 unit trak (7 tan), 160 unit trak (3 tan), 129 unit bot dan 109 unit enjin bot. Selain itu seramai 115 pegawai serta 2,768 anggota lain-lain pangkat.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein berkata, antara pelaksanaan pendekatan yang dilakukan meletak Batalion dalam keadaan bersiap siaga di setiap negeri untuk digerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan.

- Advertisement -

Katanya, kementerian juga mengatur pegawai bertanggungjawab ke semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah serta meletakkan pasukan perubatan ATM dalam keadaan sedia bagi kawalan pencegahan jangkitan Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Selain itu, pihaknya juga merancang koordinasi bantuan pesawat udara ATM, selain memastikan hospital dan poliklinik ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga.

“ATM turut menambah bilangan anggota bagi melaksanakan operasi menghantar barang keperluan serta makanan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS.

“Segala perancangan ATM akan dikemaskini dari semasa ke semasa mengikut situasi banjir di sesebuah negeri dan sesuatu kawasan,” katanya selepas mendengar taklimat persediaan menghadapi banjir gelombang kedua di Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Malah kata beliau kepimpinan tertinggi ATM dan MINDEF akan memastikan ATM melakukan segala usaha demi memastikan keselamatan rakyat sepanjang musim banjir sekarang.

Menurutnya juga ATM dan MINDEF mengikuti secara rapat laporan Jabatan Meteorologi Malaysia kemungkinan berlaku hujan berterusan bermula 29 Disember hingga 6 Januari ini yang boleh menyebabkan banjir gelombang kedua di beberapa negeri.

Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, negeri-negeri tersebut termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 30/12/2021

- Advertisement -