Keputusan kes berprofil tinggi warnai kalendar badan kehakiman 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tahun 2021 menyaksikan momen penting dalam badan kehakiman Malaysia dan perhatian semua pihak sama ada di peringkat antarabangsa mahupun domestik tertumpu kepada mahkamah apabila beberapa keputusan yang disifatkan sebagai mengejutkan telah dibuat dalam kes bersejarah serta berprofil tinggi membabitkan pemimpin negara termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

- Advertisement -

Keputusan mahkamah yang menjadi tumpuan serta bualan ramai termasuk kes berkepentingan awam seperti isu kewarganegaraan, Undi18, pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah jenayah yang dikaitkan dengan beberapa tokoh penting di negara ini.

Pada 8 Dis, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, 68, kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd selepas menolak rayuan beliau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

Pasukan pembelaan Ahli Parlimen Pekan itu kemudian bertindak pantas memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, venue terakhir dalam usaha mengubah keputusan tersebut pada hari yang sama.

Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman setebal 308 halaman dengan lantang menyelar dan mengkritik perlakuan Najib dalam kes itu selepas memutuskan bahawa beliau tidak boleh dikatakan sebagai berkhidmat demi kepentingan negara kerana perbuatannya ternyata telah memalukan negara.

Keputusan bersejarah paling mengejutkan namun pada masa yang sama tetap mengujakan banyak pihak ialah apabila Mahkamah Tinggi Kuching di Sarawak pada 3 Sept memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Dis ini.

Penganalisis menyifatkan keputusan itu sebagai bakal merubah landskap politik negara dengan kehadiran kira-kira 4 juta pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka berlangsung selepas pertengahan tahun 2022.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan kehakiman oleh lima belia yang memohon agar pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur minimum mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dikuatkuasakan dengan segera.

Susulan itu, Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Dis yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik berkuat kuasa pada 15 Dis.

Satu lagi keputusan bersejarah telah dibuat pada 9 Sept oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir yang mengisytiharkan bahawa anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan negara ini mengikut kuat kuasa undang-undang.

Akhtar memutuskan bahawa Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan hendaklah turut bermaksud dan melibatkan ibu selain bapa, justeru beliau memerintahkan semua pihak berkuasa berkenaan agar mengeluarkan dokumen yang berkaitan seperti kad pengenalan kepada enam kanak-kanak terbabit.

Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan saman Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi mendapatkan kerakyatan negara ini untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Pada 22 Dis, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara untuk menggantung perintah itu sementara menunggu rayuan  kes tersebut yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 23 Mac tahun depan.

Kes lain yang hangat diperkata di media sosial ialah keputusan membabitkan kematian pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2 Nov yang menyaksikan enam penuntut universiti sama terlepas tali gantung apabila mereka dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah selepas mendapati kesemua tertuduh bersalah menyebabkan kematian mangsa tanpa niat membunuh.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata mahkamah mendapati kesemua tertuduh bersalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ke atas mangsa tanpa niat membunuh yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Susulan itu, pada 3 Nov, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata Jabatan Peguam Negara akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah mensabitkan keenam-enam penuntut, yang pada asalnya didakwa membunuh Zulfarhan Osman, dengan kesalahan menyebabkan kematian yang tidak terjumlah kepada membunuh.

Turut menarik perhatian pada 3 Feb, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati beliau bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh agensi itu.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan memfailkan rayuan dan mengemukakan 40 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Kes rasuah membabitkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menjadi tajuk utama akhbar selepas Mahkamah Rayuan pada 16 Julai membebaskan beliau daripada pertuduhan selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bukan dan denda RM2 juta yang dikenakan terhadapnya.

Hakim Datuk Suraya Othman, yang membacakan keputusan majoriti 2-1, memutuskan bahawa cek RM2 juta yang diterima oleh Tengku Adnan daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong adalah sumbangan politik kepada UMNO.

Satu lagi kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan umum ialah pembebasan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima beliau daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 29 Sept, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh mengarahkan Ahmad dibebaskan apabila dimaklumkan bahawa pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan selepas tertuduh membayar kompaun RM1.1 juta.

Kenyataan SPRM yang dikeluarkan pada hari sama memaklumkan bahawa kompaun itu dikenakan ke atas Ahmad sebagai tindakan punitif dan merupakan satu kaedah bagi mendapatkan kembali aset di bawah undang-undang antipengubahan wang haram negara.

Penasihat Undang-Undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun turut menarik nafas lega selepas dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM15 juta yang didakwa diterima oleh beliau daripada Najib apabila Mahkamah Sesyen dimaklumkan bahawa pendakwaan menarik balik tiga pertuduhan terhadap peguam itu, yang bersetuju membayar kompaun berjumlah RM590,587.26.

Pada 16 Jun pula, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban Azizul Azmi Adnan menggantikan keputusan Mahkamah Koroner dalam kes Nora Anne Quoirin yang sebelum ini memutuskan bahawa punca kematian mangsa sebagai peristiwa malang kepada keputusan terbuka iaitu punca kematian tidak dapat ditentukan.

Mahkamah membuat keputusan itu susulan permohonan semakan yang dikemukakan oleh keluarga mangsa terhadap dapatan Mahkamah Koroner.

Nora Anne dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai, Seremban, kira-kira 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur.

Mayat remaja perempuan berusia 15 tahun itu ditemukan 10 hari kemudian berhampiran sebuah gaung kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan itu susulan misi mencari besar-besaran oleh pihak berwajib.

Tidak ketinggalan daripada radar perhatian umum pada 7 Dis, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Paul Yong Choo Kiong, yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesianya dua tahun lepas, membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh itu dan menetapkan 15 dan 16 Feb untuk mendengar pembelaan Yong.

Satu lagi kes berprofil tinggi serta menjadi tumpuan ramai membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor yang diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan rasuah melibatkan projek hibrid solar di Sarawak.

Rosmah, 70, yang juga isteri Najib, memberikan keterangan daripada kandang saksi buat pertama kali pada 5 Okt.

Selain itu, pada 6 Dis, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence menetapkan 24 Jan 2022 bagi memutuskan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dan Yayasan Akalbudi, dibebaskan atau diperintah membela diri.

Hakim itu menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 24 hari bermula 6 Sept 2021. Pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac selepas memanggil 99 saksi.

Kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mendapat perhatian selepas beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah terhadap dana milik sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalah guna RM120,000 sumbangan bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada 5 Ogos pula, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM100,000. Semua kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mahkamah membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk memindah dan membicarakan kes itu di sini.

Pada 14 Dis, Mahkamah Sesyen memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony membela diri atas pertuduhan memalsukan surat daripada pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah bagi kontrak kerja-kerja penyelenggaraan sistem di universiti itu pada 2014.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membukti satu kes prima facie terhadap Peter, 50, dan menetapkan 3 hingga 7 Jan 2022 untuk mendengar pembelaan tertuduh. – BERNAMA

- Advertisement -