Pelajar IPTA ditahan bersama pil kuda bernilai RM240,000

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Polis Kelantan menahan seorang pelajar tahun akhir sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana dipercayai memiliki 10 paket mengandungi dadah berwarna merah dan hijau disyaki pil kuda.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 23 tahun ditahan anggota Narkotik Polis Bachok di sebuah rumah tanpa alamat di Gunung Bachok.

Beliau berkata, hasil penahan itu pihak polis merampas dadah sebanyak 24,000 yang bernilai RM240,000 selain menyita sebuah lori, kereta dan motosikal kuasa tinggi yang bernilai RM60,000.

- Advertisement -

“Pelajar terbabit merupakan penuntut tahun akhir sebuah IPTA di Perak disyaki terlibat dengan sendikit penyeludupan dadah yang aktif bergerak di sekitar sempadan negara di Sungai Golok.

“Pelajar berkenaan tidak ada rekod lampau tetapi berdasarkan risikan dia terlibat dengan kumpulan tertentu yang bergerak hampir setahun lebih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Kelantan di sini hari ini.

Kata beliau tangkapan tersebut merupakan yang pertama daripada dua tangkapan membabitkan kes dadah di Kelantan pada 22 Disember lalu.

Jelasnya tangkapan kedua pula di sebuah rumah di Taman Rantau Baru, Gual Nering, Rantau Panjang menemui 16,000 biji pil kuda dan 10 kilogram syabu dengan nilai mencecah RM760,000

Menurutnya dadah berkenaan ditemui dalam sebuah kotak dan dua bungkusan plastik di atas syiling bilik air di bahagian dapur rumah tersebut.

Katanya turut ditahan sepasang suami isteri penganggur berusia 30 tahun dan 23 tahun.

“Kedua tangkapan dadah itu dipercayai mendapat bekalan dari negara jiran untuk pasaran Kelantan dan Lembah Kelang,” ujarnya.

Muhamad Zaki juga berkata, pelajar terbabit direman selama tiga hari bermula hari ini, manakala pasangan suami isteri berkenaan direman selama tujuh hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

- Advertisement -