Bersara untuk berbakti kepada masyarakat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA: Calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Abu Hashim Abdul Samad mengambil keputusan untuk bersara pada usia 55 tahun dengan hasrat untuk berbakti kepada masyarakat.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Hashim, pernah bertugas sebagai Pegawai Pendidikan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pernah menjadi Guru Besar dan Guru Penolong Kanan selama dua tahun.

Suka untuk berbakti kepada anak bangsa, beliau beberapa kali ke luar negara demi membawa pulang ilmu pendidikan di luar sana untuk diterapkan dalam pembelajaran anak bangsa.

- Advertisement -

Pernah mewakili KPM membuat pembentangan dalam gabungan Kementerian Pendidikan bagi negara-negara Asia Tenggara dalam pembangunan pendidikan yang dikenali Southeast Asian Minister of Education, Organization, Innovation and Technology (SEAMEO-INNOTECH).

Beliau juga pernah mewakili Malaysia dalam program Antabangsa dan Pendidikan Sains di Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa, Amerika Syarikat (USA), Akademi Sains di USA, dan Pusat Sains di USA.

Pelbagai lagi pencapaian yang diperoleh sepanjang berkhidmat di bawah KPM, antaranya memperoleh Anugerah Prestasi Khidmat Cemerlang.

Dalam satu temubual dengan Harakahdaily, beliau menyatakan hasrat untuk menyelesaikan masalah tanah terbiar di DUN Taboh Naning sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (Melaka).

Beliau juga berhasrat untuk membangunkan projek pertanian berkelompok yang dilihat mempunyai potensi untuk membantu masyarakat setempat khususnya

Cikgu Hashim pada awalnya mahu memberi peluang kepada orang lain untuk bertanding di DUN berkenaan walaupun mendapat sokongan daripada ahli-ahli PAS setempat.

“Saya suka bekerja dan berkhidmat untuk rakyat secara belakang tadbir kerana kita mahu tonjolkan orang lain.

“Tetapi apa yang berlaku, apabila kita dengar khabar DUN Taboh Naning diberi kepada PAS dan pihak lawan yang bertanding juga kita lihat tidak melambangkan seorang pemimpin yang baik.

“Saya lihat hanya sekadar calon semata, lebih kepada populariti dan politik sahaja, tidak ada pengalaman dan sebagainya. Jadi saya bimbang DUN Taboh Naning juga akan menerima nasib sama,” katanya.

Oleh itu, beliau menawarkan diri walaupun keputusan itu dibuat pada saat akhir.

“Ketika saya dapat tahu, waktu itu sedang muktamar,” ujarnya.

Beliau dapat melihat peluang yang ada boleh mencapai kemenangan sekiranya orang terbuka dan Allah membukakan pintu hati pengundi.

Selain beliau, tujuh lagi calon daripada PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November (esok).

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua Menteri. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -