Penumpang maut teksi meletup dekat hospital wanita angkara pengganas

- Advertisement -

LIVERPOOL: Polis mengisytiharkan kejadian letupan di hadapan Hospital Wanita Liverpool  pada pagi Ahad sebagai serangan pengganas selepas ‘bom buatan sendiri’ meletupkan sebuah teksi dan menyebabkan seorang penumpang teksi itu maut, lapor Daily Star.

Dalam kejadian yang pada jam 10.59 pagi Ahad, ketika United Kingdom meraikan Hari Peringatan Ahad buat askar-askar yang meninggal dunia dalam perang dunia, selain seorang penumpang lelaki maut, pemandu teksi tersebut, seorang warga tempatan dikenali sebagai David Perry mengalami kecederaan, tetapi telah dibenarkan keluar dari hospital.

- Advertisement -

Sehubungan itu, pihak polis United Kingdom (UK) pada Selasa telah mengenal pasti identiti suspek iaitu penumpang teksi yang maut berkenaan dikenali sebagai Emad Al Swealmeen, 32.

Semasa sidang akhbar pada pagi Isnin, pihak polis Merseyside mendedahkan mereka percaya bahawa penumpang teksi tersebut yang bertanggungjawab terhadap kejadian letupan teksi tersebut, tetapi motifnya diklasifikasikan sebagai ‘belum difahami’.

Datuk Bandar Liverpool, Joanne Anderson pula memberitahu BBC, Perry telah ‘menyelamatkan banyak nyawa’ atas tindakannya mengunci penumpang lelaki tersebut di dalam teksinya sebelum ia meletup dan terbakar. 

Sementara Ketua Polis Antikeganasan, Russ Jackson berkata, Perry telah mengambil penumpang lelaki tersebut di Rutland Avenue.

“Penumpang lelaki tersebut meminta untuk dibawa ke Hospital Wanita Liverpool yang jaraknya kira-kira 10 minit dari Rutland Avenue. Ketika teksi itu menghampiri tempat menurunkan penumpang di hospital tersebut, satu letupan berlaku dari dalam kereta, yang dengan cepat membakar teksi tersebut.

“Agak menakjubkan apabila Perry berjaya melarikan diri dari teksinya itu sebelum ia meletup bersama penumpang lelaki tersebut,” jelasnya.

Tambah Jackson, pihaknya mengesahkan hasil siasatan mendapati bahawa alat letupan buatan sendiri telah dihasilkan dan andaian kami setakat ini ialah ia dihasilkan oleh penumpang dalam teksi berkenaan.

Menurutnya, kejadian tersebut belum dapat dipastikan sama ada ia ada kaitan dengan Hari Peringatan Ahad, tetapi siasatan lanjut sedang dilakukan.    

Dalam pada itu, Jackson turut mendedahkan bahawa lelaki keempat telah ditahan berhubung kejadian itu.

“Kami baru sahaja menahan seorang lagi lelaki berusia 20 tahun di Kensington di bawah Akta Keganasan S41,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak polis antikeganasan telah menahan tiga lelaki masing-masing berusia 29, 26 dan 21, juga di Kensington berhubung kejadian letupan teksi tersebut. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -