Undi 18 umpama bom tanpa dididik jadi pengundi berilmu

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

KUALA NERUS: Undi 18 tahun umpama bom yang boleh membunuh demokrasi andainya ia tidak dididik menjadi pengundi berilmu dan berinformasi dengan kebenaran.

Perwakilan PAS Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, pengundi muda berpotensi menjadi penentu mengubah atau mendukung kekuatan satu keluarga, bangsa dan ummah.

Katanya, kesepaduan gerak kerja agama dan parti perlu digembleng dengan matlamat dan kaedah yang betul terutama dalam menghadapi pilihan raya.

Malah kata beliau minda dan emosi ahli (PAS) juga mesti dipasak dan dididik dengan lasak supaya ia tahan ketika diasak dengan pelbagai fitnah.

“Selain itu perlu menyusun langkah menegakkan demokrasi dan berminda penyatuan ummah perlu ditegakkan untuk kemenangan Islam.

“Pemerkasaan peranan PAS dari segi politik parti dan pentadbiran legislatif, eksekutif dan judisiari harus terus diperkasakan,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyung Resort, di sini petang ini.

Justeru itu kata beliau pendidikan literasi politik kepada pengundi pengundi 18 tahun harus dibuat supaya mereka menjadi pengundi yang bijaksana.

Bagaimanapun menurutnya pendidikan, penerangan dan hebahan yang dilakukan melalui medium semasa dan istilah yang difahami mesti selari dengan tuntutan semasa.

Mumtaz yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, setiap agenda perpaduan hendaklah dimulakan dengan persahabatan di kejiranan, di pejabat dan kampung berteraskan iman dicapai dengan ilmu.

“Perpaduan yang diikat dengan perjanjian dan lambang wajib bergerak dalam kerajaan dengan satu pasukan, arahan dan semboyan.

“Perpaduan bermula dengan niat ibadah dan sabar mencari titik persamaan, saling menghormati dan belajar untuk hidup cekal bersama, segala cabaran dan isu mesti diselesaikan dengan semangat penyatuan.

“Agenda mempertahankan tidak segampang menubuhkan sebuah kerajaan. Keadaan kini genting umpama Hudaibiyyah masih lagi berjalan, banyak yang dibuat keputusan mengambil kira keperluan mendatang bukan keuntungan sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -