Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 17)
Oleh NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
DI ANTARA keadilan yang diberi penekanan oleh Islam ialah adil dalam penghakiman sesuatu kes. Penghakiman pula berdasarkan apa yang didengar oleh hakim dari mulut plaintif, defendan, saksi atau peguam masing-masing.
Kaedah menyebut:
الحكم على شىء فرع عن تصوره
Menjatuhkan hukuman terhadap sesuatu adalah cabang dari gambaran sesuatu.
Justeru, memahami fakta sesuatu kes amat penting supaya hukuman dapat dijatuhkan seadil mungkin.
Oleh sebab itu, Umar al-Khattab menyebut dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asy’ari:
فافهم إذا أُدليَ إليك؛ فإنه لا ينفع تكلُّمٌ بحقٍّ لا نفاذ له
Fahamilah apabila diberitahu kepadamu. Sesungguhnya tidak ada manfaat bercakap benar yang tidak ada bidang kuasa.
Kefahaman yang mendalam boleh dilihat ketika Nabi Sulaiman AS menyelesaikan kes dua wanita berebut seorang bayi.
Nabi Sulaiman berkata: Kita bahagi dua bayi ini supaya masing-masing dapat bahagian yang sama.’ Salah seorang wanita mengiakan. Salah seorang lagi berkata: Jangan! Berikan sahaja bayi ini kepada wanita itu.
Lalu Nabi Sulaiman menjatuhkan hukuman bahawa bayi itu adalah anak wanita yang mahu menyerahkan bayi kepada seorang wanita lagi. Logiknya si ibu tidak akan membiarkan anaknya dikerat dua semata-mata kononnya untuk berlaku adil. Fitrah manusia pula tentunya sayangkan anak sendiri.
Dalam kisah Nabi Yusof yang terfitnah dengan sebab Zulaikha pula, saksi yang masih kecil berkata: Jika baju Nabi Yusof koyak dari depan, Zulaikha benar dan Yusof bohong. Sebaliknya jika koyak dari belakang, Yusof benar dan Zulaikha bohong.
Ternyata baju Nabi Yusof koyak dari belakang. Apa yang kita faham koyak dari belakang bermakna Nabi Yusof cuba lari, dan Zulaikha menarik baju Nabi Yusof dari belakang. Namun, saat orang lain yang berkuasa, orang yang benar pun tercampak ke penjara. Dan benarlah bahawa:
إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ
‘Sesungguhnya tipu-daya kamu (perempuan) adalah besar’
Sebenarnya dalam sejarah para nabi, para sahabat dan ulama hebat, kefahaman yang benar, termasuk memahami fakta kes menjadikan mereka bertindak adil dalam menjatuhkan hukuman sesuatu kes.
Hari ini pakar forensik, pakar perubatan, ilmu sains dan teknologi yang canggih banyak membantu para hakim di mahkamah memahami fakta kes dengan lebih baik.
Wahai Yang Arif, fahamilah fakta kes dengan baik kerana keputusan kes itu di tangan anda. – HARAKAHDAILY 4/11/2021
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.