PTBKL berjaya halang Kuala Lumpur dilanda banjir besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek Tebatan Banjir di Kuala Lumpur (PTBKL) merangkumi Projek SMART, Projek Lencongan Sungai Gombak, Lencongan Sungai Keroh dan Lencongan Sungai Bunus.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), konsep atau pendekatan yang digunakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah ‘control at source’ di mana air banjir akan dilencongkan dan ditakung dalam kolam-kolam takungan banjir dan dilepaskan semula air banjir ini secara perlahan-lahan selepas paras air sungai utama turun.

- Advertisement -

KASA dalam satu kenyataan hari ini berkata, PTBKL telah berjaya menebat banjir besar di Kuala Lumpur susulan hujan lebat di Lembah Klang pada 26 September, 20 dan 23 Oktober lalu.

Sebagai perbandingan, ujarnya banjir kilat telah berlaku di banyak kawasan di Selangor pada tempoh yang sama.

Tambahnya, pada 23 Oktober 2021 hujan lebat telah turun di sub-lembangan Sungai Bunus, Kuala Lumpur dan komponen terakhir PTBKL iaitu RTB Sungai Bunus yang sedang dilaksanakan oleh JPS telah berjaya menebat kawasan Jalan Tun Razak di hadapan Institut Jantung Negara, Perpustakaan Negara, Jalan Gurney, Jalan Sultan Yahya Petra dan Kampung Baru.

“Hujan telah turun dengan kadar 60 mm sejam yang secara kebiasaannya akan menyebabkan banjir di Kuala Lumpur sebelum projek PTBKL dilaksanakan,” katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha KASA Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan pegawai kanan KASA telah melawat kemudahan PTBKL Sungai Bunus di mana taklimat diberikan oleh Timbalan Pengarah JPS WPKL, Ir Ratna Rajah Sivapiragasam.

KASA mengucapkan tahniah kepada JPS atas sumbang bakti memastikan bandaraya Kuala Lumpur selamat daripada banjir besar. – HARAKAHDAILY 25/10/2021

- Advertisement -