Perpaduan parti politik Melayu Islam perlu dipertahan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Ekonomi, politik dan pendidikan Melayu Islam akan dapat dipertahankan menerusi formula penyatuan dua entiti ini iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (PN).

Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Mohd Saifizi Saidon berkata perpaduan antara ketiga-tiga parti terbesar orang Melayu Islam itu perlu diusahakan dan dipertahankan kerana perpecahan hanya akan membawa kerugian kepada umat Islam sendiri.

“Kita mengambil iktibar dari peristiwa sirah Nabi Muhammad SAW, bagaimana kaum Aus dan Khazraj dipergunakan oleh orang Yahudi apabila mereka berpecah.

- Advertisement -

“Kemudian, apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah lalu menyatukan kedua kaum ini atas nama Islam dan turut menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, justeru kita dapat lihat ekonomi, politik dan bangsa di Madinah dapat berjalan dengan lancar dan rakyat hidup dengan aman damai.

“Malahan pendidikan di kalangan orang Islam di Madinah juga dapat pertahankan,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihati agar pemimpin politik tidak bersikap sombong dan angkuh dengan hanya melihat parti sendiri sahaja yang kuat.

“Jangan lupa bahawa kita pernah tumbang apabila berpecah namun apabila diberikan sedikit kekuatan, kita mula lupa diri dan nikmat penyatuan di mana menerusi nikmat inilah umat Islam kembali bangkit.

“Hal ini merupakan satu musibah yang dihadapi oleh pemimpin, apabila berada dalam kesenangan,  mereka lupa akan nikmat perpaduan, kemudian apabila susah, mereka mula mencari kembali perpaduan untuk bertaut bagi menambahkan kekuatan,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyarankan supaya pemimpin politik sentiasa melihat kepentingan rakyat, bangsa dan agama sebagai agenda utama bukan hanya mengejar kepentingan jawatan dan pangkat sahaja.

“Apabila terbubarnya kerajaan PN di Melaka, barulah kita merasa gusar dan bimbang akan kehilangan kuasa.

“Ini semua kerana kegagalan menghayati nikmat perpaduan yang diberikan Allah,” katanya.

Begitu juga menurutnya, MN perlu mengambil iktibar daripada siri-siri kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu.

“Bagaimana kekuatan MN ini dapat ditonjolkan menyebabkan kita kembali mendapat kemenangan di beberapa PRK.

“Jadi, jika kita masih sombong malah tidak menginsafi kejayaan ketika PRK yang lepas, ia merupakan satu perkara yang sangat malang kerana mereka gagal menganalisa kekuatan sedangkan kita telah lama berpolitik untuk mempertahankan Melayu Islam dan juga masyarakat majmuk ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -