Kerja penambahbaikan, senggara aset kritikal LRA SSP1 siap

Foto daripada Facebook Air Selangor.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Air Selangor memaklumkan bahawa kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah siap dilaksanakan pada jam 5.00 pagi tadi.

Menurut Air Selangor, sehingga jam 6.00 pagi, sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan dan bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

- Advertisement -

“Bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat pada jam 5.00 petang nanti.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” ujar Air Selangor menerusi Facebooknya, pagi ini.

Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

Bermula semalam, penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang mula mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan berkenaan, dengan daerah terlibat antaranya Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -