Piala Dunia 2 tahun sekali: FIFA vs UEFA

PADA bulan Mei tahun ini Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi telah mencadangkan agar Piala Dunia FIFA dianjurkan setiap 2 tahun. Kejohanan tersebut telah dianjurkan setiap 4 tahun sejak kejohanan pertama dalam tahun 1930. ESPN melaporkan cadangan ini telah menerima sokongan daripada 166 dari 210 Persekutuan Bola Sepak Kebangsaan. Bekas Pengurus pasukan Arsenal, Arsene Wenger, yang merupakan Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA telah diberi tugas untuk melaksanakan kajian mengenai pelaksanaannya.

Walau bagaimanapun cadangan ini mendapat bantahan dari konfederasi bola sepak Eropah, UEFA, di mana Presiden mereka Aleksander Ceferin membayangkan negara-negara UEFA tidak akan menyertainya. Bantahan UEFA ini boleh difahami kerana tidak mahu membebankan pemain-pemain mereka dengan begitu banyak perlawanan. Kelab-kelab utama yang dibarisi oleh pemain-pemain Antarabangsa sudah tentu tidak mahu mereka kepenatan akibat kejohanan yang lebih kerap.

Advertisement

Para pemain bukan sahaja terpaksa bermain pada Piala Dunia tetapi juga pada perlawanan-perlawanan kelayakan kejohanan tersebut. Malah yang paling terkesan adalah kelab-kelab kecil yang terlalu bergantung kepada pemain-pemain Antarabangsa mereka. Pemain-pemain tersebut akan lebih kerap terbang ke Amerika Selatan, Afrika dan Asia untuk perlawanan-perlawanan tersebut. Selain dari itu, mereka juga perlu bermain di dalam kejohanan-kejohanan konfederasi mereka seperti Copa America, AFCON, Piala Asia AFC dan CONCACAF Gold Cup.

Satu kalendar bola sepak yang baharu perlu dihasilkan untuk memastikan tidak berlaku pertembungan di antara kejohanan-kejohanan yang sedang dianjurkan sekarang. Ia juga untuk memastikan kejohanan-kejohanan ini dijarakkan agar tidak membebankan pemain dan juga dapat menarik minat para peminat. Sekiranya kejohanan-kejohanan ini terlalu hampir, ia akan membosankan. Sekiranya kejohanan ini gagal menarik minat, ia juga tidak akan menarik pengiklan-pengiklan dan akhirnya tidak ada syarikat penyiaran yang akan menyiarkannya. Pada Piala Dunia 2018, 55 peratus pendapatan FIFA adalah dari hak penyiaran televisyen (TV broadcast rights) dan hanya 15 peratus dari jualan tiket. Justeru itu minat penonton-penonton adalah sama penting dengan prestasi pemain. Begitulah realiti bola sepak hari ini.

Tetapi jika terdapat halangan dan cabaran mengapa FIFA menyokong cadangan ini? Mungkin motivasi utama adalah kewangan. Dengan jadual sedia ada, pendapatan dari Piala Dunia hanya diperolehi 4 tahun sekali. Pendapatan FIFA sepanjang 4 tahun lepas adalah sebanyak USD6.4 bilion sementara UEFA menjana USD12.5 bilion walhal tanggungjawab FIFA adalah lebih luas. FIFA hanya bergantung kepada Piala Dunia sementara UEFA dapat menjana pendapatan daripada Euro, Champions League dan Europa League. Cadangan baharu ini akan dapat memastikan pendapatan yang berterusan untuk FIFA. 

Kita juga berada di dalam dunia yang bergerak begitu pantas. Kita bukan lagi berada di dalam dunia di mana berita hanya diperolehi setiap pagi apabila anda membeli surat khabar. Di dalam dunia yang didominasi oleh media sosial, berita diperolehi sepanjang 24 jam. Oleh yang demikian, menunggu 4 tahun untuk Piala Dunia adalah tidak menepati gaya hidup hari ini dan ketinggalan zaman. FIFA sudah tentu mahu melihat Piala Dunia lebih mendapat perhatian dari kejohanan-kejohanan kelab. Piala Dunia 2026 di USA, Mexico dan Kanada buat pertama kali dengan 48 negara merupakan salah satu usaha tersebut. Cadangan ini akan dapat mengekalkan populariti Piala Dunia agar sentiasa berada di hadapan.

Tidakkah susah untuk mencari tuan rumah jika Piala Dunia hendak dianjurkan 2 tahun sekali? Jawapannya tidak kerana banyak negara yang berebut untuk menganjurkannya. Untuk Piala Dunia 2026 di Qatar, 5 negara telah menawarkan untuk menjadi tuan rumah. USA, Korea Selatan, Jepun dan Australia turut menawarkan diri tapi gagal. Dengan Piala Dunia yang lebih kerap, negara-negara yang berminat tidak perlu menunggu berpuluh-puluh tahun sebelum menjadi tuan rumah. Russia (ketika itu USSR) menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk Piala Dunia 1994 tetapi hanya menjadi tuan rumah pada tahun 2018. Dengan itu lebih banyak negara berpeluang menjadi tuan rumah selain dari lebih banyak negara berpeluang layak ke Piala Dunia.

Keadaan ini bermakna FIFA berpeluang memuaskan hati lebih banyak pihak. Ia merupakan peluang bagi FIFA untuk mengukuhkan kedudukannya setelah berlaku pertembungan dengan UEFA. Ada yang melihat kekerapan Piala Dunia ini dapat meletakkan kejohanan ini jauh di hadapan Euro dan Champions League dari segi populariti. 

Dengan kekerapan ini pendapatan FIFA berupaya menyaingi pendapatan UEFA. Walaupun kelab-kelab terkaya di dunia adalah di Eropah namun pusat kuasa semakin beralih keluar dari benua tersebut. Kelab-kelab utama Eropah bergantung kepada pemilik dan penaja dari luar Eropah seperti dari Qatar, UAE, China dan USA. Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kelab Eropah yang dianggotai oleh 220 kelab adalah Nasser Al-Khelaifi dari Qatar. Konfederasi bola sepak Afrika dilaporkan juga menyokong kekerapan Piala Dunia. Nampaknya FIFA tidak bersendirian di dalam ‘peperangan’ dengan UEFA. Ia bukan sekadar menentukan kekerapan Piala Dunia tetapi menentukan siapa yang menguasai bola sepak dunia.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 8/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4749209438431349/