Ujian MN-PN lawan PH bermula di Melaka

- Advertisement -

PERISTIWA besar yang mendorong penyatuan umat Melayu bermula apabila hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bermula dari situlah himpunan penyatuan ummah digerak. Himpunan itu juga marak di Pasir Salak Perak. Kehadiran puluhan ribu manusia. Begitu juga perhimpunan serupa di Kota Bharu.

Ia diadakan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV. Ia menampilkan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

- Advertisement -

Pertama kali dalam sejarah moden, penyokong Umno dan PAS berhimpun. Duduk bersila di lantai sama. Walaupun penyokong PAS allergic dengan Umno, namun apabila ketuanan Melayu tercabar mereka akhirnya bersatu.

PAS mempunyai banyak pengalaman selepas disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978. Sejak tempoh itu kedua-dua parti Melayu terbabit asyik menyingsing baju.

Umno yang menguasai Persekutuan menggunakan peluang mendera PAS. Pada awal 1990-an muncul isu baja cap dacing. Petani yang menyokong PAS disisih mendapat baja percuma tersebut.

Skala pertembungan dua parti gergasi Melayu itu ternyata hebat. Namun segala-galanya luntur setelah Umno dan BN hilang Putrajaya pada 9 Mei 2018.

Kata orang kampung carik-carik bulu ayam. Isu penyatuan Melayu tambah hangat dengan munculnya ICERD.

Perhimpunan besar-besaran umat Melayu menggabungkan penyokong PAS dan Umno. Himpunan raksasa itu diadakan di ibu negara pada 8 Disember 2018.

Menjelang himpunan tersebut jerayawara diadakan di seluruh negara. Ramai pemimpin PAS dan Umno terbabit. Bermula di peringkat cawangan sehingga presiden kedua-dua parti.

Dan bermula dari detik itulah hubungan PAS dan Umno tambah serius. Akhirnya mencetus Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

MN melantik Annuar sebagai Setiausaha Agung MN. Pemimpin itu melihat perlu gabungan politik besar (grand coalition) membabitkan parti-parti politik.

Baginya penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat Umno, PAS dan Bersatu sahaja.

“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu grand coalition yang melibatkan sekurang-kurangnya 13 parti politik yang sealiran,” katanya di media sosialnya sebelum ini.
Ketika itu Annuar sebagai Setiausaha Agung Umno, tentunya ada power. MN melengkapkan hubungan dengan membentuk sebuah jawatankuasa perunding peringkat tertinggi.

Jawatankuasa itu dianggotai 11 orang. Ia memulakan langkah lebih konkrit menyusun pelan strategik.

Namun lebih dua tahun Piagam MN ditandatangani, impian Annuar nampaknya masih samar. Malah ahli parlimen Ketereh itu diragut jawatan Setiausaha Agung Umno selepas berlaku konflik dalaman Umno.

Tiba-tiba hari ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tegas mahu mufarakah dengan Bersatu. Malah Perhimpunan Agung Umno 2020 menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Namun rupa-rupanya kondisi itu akan berlaku lebih awal. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi medan pertama.

Umno yang mempunyai 13 Adun tentunya akan mengharapkan bantuan Bersatu. Seorang Adun Umno dan Bersatu juga dipecat serta merta selepas mereka menzahirkan hilang sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

DUN Melaka mempunyai 28 Adun, di mana 11 daripadanya mewakili Pakatan Harapan (PH) dan seorang mewakili Bebas. Kerusi pembangkang tersebut merangkumi tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Ternyata langkah Yang Dipertua Negeri Melaka bijak. Tidak membiarkan cita-cita Idris Haron menjadi Ketua Menteri pusingan kedua. Begitu juga langkah kiri Nor Azman Hassan, Norhizam Hassan Baktee dan Noor Effendi Ahmad.

Annuar seperti sudah menjangka situasi itu. Dia mengenakan baju Penyatuan Ummah ketika melawat Anjung Kelana (Pusat Transformasi Gelandangan) baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -