Antara keruh dan jernihnya GST

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

WALAUPUN Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) telah dikuburkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dan memerintah selama 22 bulan, namun hantu GST seolah-olah masih bergentayangan di minda rakyat.

Sehingga sekarang, rejim cukai yang sangat dibenci oleh sebahagian besar rakyat Malaysia dan telah menjatuhkan kerajaan BN ini masih menjadi topik perbincangan selain dikatakan ada usaha-usaha untuk melaksanakannya semula.

- Advertisement -

Tetapi mengapa GST yang dipandang keji ini dilaksanakan di 152 daripada 193 buah negara di dunia yang berada di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)?

Adakah rakyat kepada negara-negara tersebut tidak cerdik dan tegar seperti rakyat Malaysia yang berjaya menghukum kerajaan yang mengaplikasikan cukai ini? Apa masalah sebenar dengan GST ini?

Di dalam rencana ini penulis akan memberi pendapat penulis tentang GST secara ilmiah sebagai seorang yang berada di dalam bidang ekonomi dan tanpa ada pengaruh politik.

Sebenarnya dari kacamata pakar ekonomi, GST adalah satu sistem cukai yang sangat cekap dan berkesan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). SST dibayar semasa produk dikeluarkan di kiĺang, sementara GST dibayar semasa pengguna akhir membelinya. Kedua-duanya tetap ditanggung pengguna.

Antara masalah besar yang dihadapi oleh kerajaan dalam sistem SST ialah isu pihak kilang yang yang tidak membayar cukai pada tingkat sebenar pengeluaran mereka. Atau lebih tepat SST menyebabkan kilang mudah untuk lari cukai, tidak dalam sistem GST.

Mengapa GST dapat mengatasi masalah lari cukai? Sistem GST mempunyai kaedah ‘tracking’ daripada kilang sehingga sampai ke tangan pengguna akhir yang menyebabkan kilang tidak boleh atau sangat sukar untuk menipu jumlah pengeluarannya dan cukai yang sepatutnya dibayar.

Ini dilakukan melalui pendahuluan cukai GST yang dikenakan pada pengilang, pemborong dan peruncit sepanjang saluran pengedaran perpindahan sesuatu produk sehingga sampai pada pengguna akhir.

Ini yang sering disalahertikan oleh orang ramai sebagai cukai berganda. Sebenarnya tidak. Pendahuluan cukai GST oleh saluran pengedaran tidak meningkatkan harga kerana cukai itu akan dipulangkan semula kepada syarikat. Yang kerajaan benar-benar ambil hanyalah yang dibayar oleh pengguna akhir.

Jika cukai GST itu lima peratus maka ia memang lima peratus dan bukannya didarabkan dengan tiga tingkat saluran pengedaran menjadikannya 15 peratus. Ini salah tanggapan yang sering berlaku.

Dan jangan pula kita fikir apabila kilang lari cukai itu bermakna pengguna mendapat faedahnya dan harga barang jadi rendah. Tidak jadi begitu. Apa yang berlaku, cukai yang tidak dibayar itu, yang sepatutnya boleh digunakan kerajaan untuk membantu rakyat, menjadi keuntungan tambahan pada pengilang.

Sepatutnya pengguna lebih berasa tertipu dengan sistem SST kerana sudahlah cukainya tidak dinyatakan, kemudian sebahagian cukai itu pula dicuri oleh sesetengah pengilang. Bayangkan jika nilainya berbilion Ringgit berapa banyak rakyat rugi wang yang tidak dapat digunakan kerajaan untuk membantu rakyat?

Bagi penulis, GST telah diburukkan namanya disebabkan polisi perlaksanaannya oleh order lama yang mula dilaksanakan pada tahun 2015 yang mengandungi banyak kesilapan yang menyebabkan harga barang naik dan menjadikan rakyat marah.

Kesilapan yang paling besar ialah penetapan kadar cukai GST permulaan sebanyak enam peratus telah menyebabkan harga barang menjadi lebih mahal berbanding semasa SST.

Selain itu kenyataan mengelirukan menteri pada waktu itu bahawa GST akan menurunkan harga barang sedangkan dalam realiti harga barang memang naik tambah membengkakkan hati rakyat.

Kerana kesilapan dalam pelaksanaannya telah menyebabkan ramai menganggap seolah-olah GST itu kadarnya mesti tinggi daripada SST dan jumlah item yang dikenakan GST mesti lebih banyak daripada yang dikenakan dalam cukai SST.

Ini silap. Kadarnya dan jumlah item yang dikenakan GST adalah atas keputusan kerajaan. Kerajaan yang menentukan kadarnya lebih rendah atau lebih tinggi daripada SST dan jumlah itemnya lebih sedikit atau lebih banyak daripada SST.

Yang menjadikan GST itu keruh ialah polisi-polìsi pelaksana yang menentukan kadarnya. Yang kita tolak ialah kekeruhannya. Apa yang jernih yang boleh diambil manfaat maka kita sepatutnya kita ambil. Kita bunuh nyamuknya, jangan kita bakar kelambunya.

Jika rakyat diberi pilihan sebuah televisyen dengan GST pada harga RM950 berbanding harga model yang sama dengan SST pada harga RM1000 adakah rakyat tetap memilih SST dan lebih rela membayar cukai yang lebih tinggi semata-mata kerana benci pada GST? – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -