Kerajaan salurkan pelbagai bantuan kepada penduduk Yan

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui beberapa kementerian dan agensi berkaitan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir kepala air di Yan, Kedah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mempertimbangkan permohonan bantuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan.

- Advertisement -

Katanya, bantuan tersebut termasuk Bantuan Khas Kematian sebanyak RM30,000 kepada enam orang waris mangsa yang meninggal dunia dan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM542,000 kepada 1,084 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas.

“Sebanyak enam unit Bantuan Kit Makanan juga diserahkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Ogos lalu kepada waris mangsa.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyalurkan bantuan Melalui Tabung Bantuan Segera RM300 kepada empat KIR, Bakul Prihatin kepada tujuh KIR, Barang Pasca Bencana seperti pengelap dan baldi kepada 50 KIR serta Bakul Makanan Negeri bernilai RM50 kepada 1,039 KIR,” katanya ketika menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Abdul Latif berkata, kerajaan juga memberi bantuan untuk kerja membaiki kemudahan awam dan infrastruktur di kawasan terjejas.

Katanya, sebanyak RM3.95 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja kecemasan dan RM50.71 juta untuk menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk membantu membaik pulih rumah penduduk yang rosak.

“Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) mempertimbangkan bantuan melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) untuk disalurkan kepada petani yang terjejas,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerai. – HARAKAHDAILY 27/9/21

- Advertisement -