Sultan yakin Kedah mampu harungi pandemik Covid-19

Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yakin dengan komitmen Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan negeri dapat mengharungi pandemik Covid-19 dengan baik.

Justeru itu baginda berharap perancangan yang teratur dan jelas dalam hal ehwal agama dalam usaha untuk melangkah ke fasa endemik Covid-19.

- Advertisement -

“Prosedur operasi standard (SOP) perlu disemak semula supaya lebih menyeluruh dan lebih sesuai dengan situasi endemik sekali gus syiar Islam di negeri ini terus subur dan bersemarak.

“Beta juga turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kerana mereka adalah perwira kita,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Persidangan Dun Kedah ke-14, hari ini.

Baginda turut berharap belanjawan akan datang memberi fokus kepada perancangan pemulihan ekonomi supaya dapat memberi sinar harapan kepada penduduk Kedah.

Titah baginda juga, kadar vaksinasi Covid-19 dapat dipertingkatkan supaya imuniti kelompok berjaya mencapai sasarannya dengan kadar segera.

Katanya kadar lebih daripada 50 peratus yang dicapai dapat dipertingkat supaya membolehkan sektor ekonomi dan sosial dibuka sepenuhnya lebih awal.

Baginda turut yakin kejayaan Kedah meraih pelaburan sebanyak RM43 bilion dalam tempoh suku tahun pertama 2021, di mana bakal berada di landasan yang betul ke arah pengukuhan sektor ekonomi dan pelaburan masa depan.

“Ketika giat melaksanakan pembangunan negeri, beta ingin ingatkan supaya setiap perancangan, perundingan dan kerjasama yang dibuat meletakkan kepentingan negeri lebih utama daripada kepentingan lain,” titah baginda.

Selain itu tidah baginda Pelan Pembangunan Kedah 2035 perlu didukung semua pihak sama ada dalam pentadbiran kerajaan negeri atau persekutuan agar visi menjadikan Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni tercapai.

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) disaran dapat ditransformasikan melalui penstrukturan semula agar lebih kondusif dan telus supaya perancangan strategik dan pelan perniagaannya selari dengan iklim ekonomi semasa.

“Pemilihan kepimpinan sesebuah GLC perlu diberi perhatian. Individu yang menyandang posisi utama hendaklah dari kalangan yang berwibawa, berpakaran, berpengalaman serta pengetahuan luas,” titah baginda.

Baginda turut berharap kerjasama dan persediaan rapi bagi membolehkan program Gelembung Perjalanan yang dilaksanakan di Langkawi sebagai destinasi perintis program itu dapat dijayakan.

Menurut baginda kemudahan pelbagai infrastruktur yang sedia ada hendaklah dibuat penambahbaikan, di samping aktiviti promosi pelancongan yang bersasar perlu digerakkan.

“Usaha-usaha ini bukan hanya dikhusus kepada Pulau Langkawi sahaja bahkan perlu diperluaskan ke destinasi pelancongan di Kedah sebagai persediaan pembukaan secara menyeluruh pada masa hadapan,” ujar baginda.

Sultan Kedah turut bertitah kemelut dan pergolakan politik di peringkat pusat yang berlaku sebelum ini berjaya diharungi, namun perlu menyedari pelantikan kepimpinan baharu melalui proses rundingan tertutup bukan satu penyelesaian mutlak.

“Ini hanyalah langkah kecemasan dalam menghadapi masalah yang lebih besar. Tempoh sehingga sebelum pilihanraya seterusnya adalah satu tempoh yang kritikal dan memerlukan kesepakatan semua pihak khususnya ahli-ahli politik untuk menangani masalah kesihatan dan ekonomi yang melanda,” tambah baginda.

Baginda turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa kejadian kepala air Gunung Jerai 18 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -