Projek rintis gelembung pelancongan Langkawi jadi model

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

ALOR SETAR: Projek rintis Gelembung pelancongan di Langkawi akan dijadikan garis panduan kepada pembukaan destinasi pelancongan di lokasi lain.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gelembung pelancongan di pulau itu diharap membolehkan lebih banyak lagi destinasi pelancongan dapat dibuka selepas ini.

Katanya program di Langkawi diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri.

“Pembukaan destinasi pelancongan itu memberi peluang kepada rakyat untuk menghilangkan stress (tekanan) sebab lebih setahun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, saya menjemput pengunjung dari seluruh negara datang ke Langkawi tetapi dalam masa yang sama perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” kata beliau pada sidang media secara di atas talian hari ini.

Menurutnya juga seramai 3,200 pengunjung tiba di Langkawi pada hari pertama pembukaannya Khamis lepas, manakala pada cuti hujung minggu jumlahnya dianggar 2,000 orang.

Ujar beliau angka itu berdasar tempahan hotel dan perkhidmatan pengangkutan di Langkawi.

Sanusi turut menyambut baik saranan Tuanku Sultan Kedah agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditransfomasi melalui penstrukturan semula.

Katanya, GLC disyorkan keluar dari zon selesa, sebaliknya berusaha melebarkan perniagaan ke luar Kedah dan bukannya bergantung kepada projek kerajaan semata-mata.

“GLC pada tahun hadapan diharap dapat menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan dalam masa yang sama kita akan mengenal pasti beberapa GLC yang perlu dibuat penstrukturan semula,” katanya.

Menurutnya syarikat berkaitan kerajaan sewajarnya dianggotai ahli perniagaan yang boleh menjana pendapatan dan bukannya dalam kalangan penjawat awam sahaja.

Sanusi turut komited berkenaan pemulihan sektor ekonomi yang turut disentuh oleh Tuanku Sultan. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -