Isu LCS perlukan langkah lebih drastik, holistik

- Advertisement -

SAYA menzahirkan rasa berbesar hati di atas jawapan Menteri Luar Negeri berkenaan konflik yang berlaku di perairan Laut China Selatan (LCS). Isu ini sememangnya menjadi tumpuan utama Kerajaan dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara dapat dikekalkan.

Saya yakin perkara ini merupakan satu isu yang amat besar kerana sebahagian perairan Laut China Selatan turut menjadi hak milik Malaysia terutamanya Kepulauan Spratly yang terletak dalam kawasan 200 batu nautika dari Malaysia. 

- Advertisement -

Berdasarkan jawapan yang diberikan, Kerajaan kini sedang menyelesaikan isu ini melalui rundingan Kod Tata Laku (COC) negara ASEAN dengan Negara China dan ia amatlah wajar.

Namun begitu, kerajaan juga seharusnya memastikan negara ASEAN terus bersatu teguh dengan memberi sokongan sepenuhnya walaupun hanya sebahagian negara anggota sahaja yang terlibat.

Tambahan pula, hubungan erat ASEAN dengan negara-negara besar amat penting kerana mereka akan menjadi pemerhati kepada mana-mana negara yang melanggar perjanjian serta syarat-syarat yang telah digariskan oleh PBB. Secara tidak langsung, negara-negara kecil seperti Malaysia akan turut mendapat perlindungan dan bantuan daripada negara-negara berkuasa.

Justeru, konflik di perairan Laut China Selatan sewajarnya diberi perhatian oleh semua pihak bukan sahaja negara ASEAN malah negara-negara besar termasuk Kesatuan Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara drastik tanpa menggadaikan mana-mana hak. 

Selain itu, saya juga menggesa agar Wisma Putra memainkan peranan yang serius dalam memperkukuhkan kesatuan negara anggota ASEAN agar konflik ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -