Bolehkah guna ‘Akta’ untuk halang lompat parti?

- Advertisement -

ADA yang mencadangkan akta khas untuk halang lompat parti. Akta adalah undang-undang yang diluluskan di Parlimen. Sebelum lulus kita panggil RUU atau Rang Undang-undang, dan selepas lulus kita sebut ‘akta’. Kedudukan akta lebih rendah dari Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan-perlembagaan negeri. Jadi, bolehkah akta digunakan untuk halang lompat parti. Jawapan saya, boleh cuba, tapi ada kemungkinan besar ia akan diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah.

Alasannya ialah mahkamah pernah mengisytiharkan peraturan yang halang lompat parti di dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan sebagai batal dan tidak sah. Pada tahun 1991, Perkara 31A telah ditambah pada Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi menetapkan bahawa ‘jika mana-mana ahli Dewan Negeri yang menjadi ahli suatu parti politik meletakkan jawatan atau dibuang daripada parti itu, atau atas apa-apa sebab jua berhenti daripada menjadi ahli suatu parti politik itu, dia hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong.’ 

- Advertisement -

Waktu itu dua orang ADUN dari Parti Semangat 46 iaitu Nordin Saleh dan Wan Najib, telah lompat menyertai Umno. Lalu mereka dilucutkan jawatannya sebagai ADUN melalui kuatkuasa pindaan baru itu. Dilaksanakan Pilihan Raya Kecil dan mereka bertanding menjadi calon Umno, lalu kalah kepada calon Semangat 46.

Tetapi, mereka mencabar di mahkamah dan akhirnya keputusan menyebelahi mereka berdua. Mahkamah bukan sahaja mengembalikan kerusi mereka sebagai ADUN, bahkan memutuskan bahawa Perkara 31A Perlembagaan Kelantan itu adalah terbatal kerana bercanggah dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Boleh rujuk kes berkaitan: Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor V Nordin Bin Salleh & Anor [1992] 1 Mlj 697

Perlembagaan Negeri lebih tinggi dari akta. Logiknya, jika akta diperkenalkan maka ia juga terdedah kepada risiko dibatalkan oleh mahkamah atas alasan kebebasan berpersatuan, terutamanya jika ia buat berasaskan keahlian parti. Jika dilihat kecenderungan mahkamah dalam kes berkenaan, kita dapat faham bahawa halangan berasaskan keahlian parti bertentangan dengan kebebasan berpersatuan. Ia berdasarkan logik bahawa seseorang wakil rakyat tidak wajar dihukum semata-mata kerana dia bertukar persatuan. Sebagai mana kita tahu parti-parti politik sekarang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 sebagai satu entiti pertubuhan atau persatuan, sebagaimana pertubuhan-pertubuhan lain. 

Tambahan pula keanggotaan Ahli Parlimen diperuntukkan melalui Perlembagaan. Agak ganjil jika keanggotaannya boleh dibatalkan hanya melalui akta biasa. Sebenarnya Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan sendiri mempunyai peruntukan berkaitan kehilangan kelayakan seseorang Ahli Parlimen, iaitu antaranya kerana faktor menjadi warga negara asing, disabitkan kesalahan jenayah, menjadi gila, bankrap dan seumpamanya. 

Tidak dinafikan bahawa anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi kerana akta tertentu di bawah undang-undang pilihan raya. Ia disebut di bawah fasal (2) Perkara 48. Namun kehilangan kelayakan di bawah fasal ini hanya terhad kepada undang-undang pilihan raya, yang berkaitan dengan proses pilihan raya iaitu sendiri. Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ada memperuntukkan pembatalan pilihan raya akibat kesalahan pilihan raya seperti rasuah di bawah Seksyen 31, dan melalui petisyen pilihan raya di bawah Seksyen 32. Lompat parti tidak sesuai dikategorikan sebagai kesalahan pilihan raya kerana ia berlaku di luar proses pilihan raya.

Oleh itu, cara terbaik untuk menangani budaya lompat parti ialah melalui pindaan Perlembagaan. Sepatutnya asas kepada kawalan lompat parti bukannya keahlian dalam parti, tetapi penggunaan simbol sewaktu dicalonkan dalam pilihan raya. Seseorang wakil rakyat yang memakai simbol dacing milik Barisan Nasional misalnya, perlu kekal menyokong BN dan tidak boleh keluar dari BN atau mengundi di Dewan Rakyat bertentangan dengan kehendak BN. Jika dia gagal mematuhinya, maka kerusi dia dianggap dikosongkan dan perlu diganti melalui Pilihan Raya Kecil.

Atas sebab inilah saya mencadangkan agar dimasukkan peruntukan berikut melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan seperti yang dilampirkan. Moga usaha menangani budaya lompat parti dapat dilaksanakan dengan cepat dan menggunakan cara yang tepat demi mengukuhkan kestabilan politik negara.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembangaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 4/9/2021

Lampiran: 

Perkara 48A: Kesetiaan Politik
Seseorang ahli Parlimen yang dipilih dalam pilihan raya yang mana dia dicalonkan mewakili sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya jika dia – 
(a) keluar dari parti itu; atau 
(b) mengundi di Parlimen secara bertentangan dengan kehendak parti itu, 

tertakluk kepada kewujudan ikrar bertulis dan bertandatangan oleh ahli Parlimen tersebut berkaitan kesan berkenaan, tetapi tindakannya itu tidak melucutkan kelayakannya bertanding dalam pilihan raya selepasnya.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100002592335141/posts/4283683518394684/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -