Elemen pemerintahan dalam dasar Manhaj Rabbani

- Advertisement -

Oleh DR WAN ADLI WAN RAMLI
Ketua Jabatan Akidah Universiti Malaya

DASAR Manhaj Rabbani akan diteruskan dan diperkasakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad menurut laporan berita.

Penerusan dan pemerkasaan ini sangat wajar kerana Rabbani adalah konsep yang bersumberkan wahyu serta terdiri daripada beberapa elemen yang sesuai sebagai suatu dasar pemerintahan negara.

- Advertisement -

Sebahagian elemen tersebut telah pun dinyatakan oleh pemimpin negara. Walau bagaimanapun, rujukan terhadap karya para ulama yang lebih muktabar menunjukkan lebih banyak elemen yang wajar dicambahkan untuk mensyarahkan konsep Rabbani, seterusnya menggayakan aplikasinya dalam Dasar Manhaj Rabbani.

Elemen dalam dasar Manhaj Rabbani

Beberapa elemen dalam konsep Rabbani telah dinyatakan oleh mantan pemimpin negara. Misalnya, ketika berucap mengenai tema Sambutan Ma‘al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M, iaitu “Ummah Rabbani Negara Harmoni”, mantan Perdana Menteri merujuk kepada Rasulullah s.a.w sebagai “contoh ikutan yang baik,” dan “merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat Rabbani dan akhlak terpuji, yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia.”

Berbeza dengan penekanan ini, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebaliknya dilaporkan menyatakan bahawa Manhaj Rabbani berpaksikan tiga ciri utama, thaqafah (keilmuan), ruhaniyyah (kerohanian) dan da‘wah (aktivisme).

Dilaporkan juga bahawa teras dasar itu adalah Maqasid Insaniyyah Rabbaniyyah.

Di sini, konsep Rabbani ini telah dicampur dengan konsep Maqasid Syariah. Di samping tiga paksi utama di atas, dilaporkan pula bahawa Manhaj Rabbani menjadikan tujuh prinsip utama sebagai hala tuju.

Tujuh prinsip yang juga menjadi hala tuju ini adalah pertama Rahmat iaitu membabitkan pentadbiran yang membawa mesej kasih sayang, kesusilaan dan kecaknaan merentas agama dan bangsa. Kedua, Aman iaitu pentadbiran yang membawa mesej kesederhanaan atau wasatiyyah Islam, menolak ekstremisme (ifrat) dan pemikiran liberal Muslim (tafrit) serta menyeru kepada keharmonian antara agama dan fiqh ta‘ayush (co-existence)

Ketiga bertuhan iaitu pentadbiran yang menjadikan nilai-nilai agama berteraskan Maqasid Syariah sebagai paksi dalam merancang segala dasar, kaedah pelaksanaan dan solusi permasalahan.

Keempat bakti iaitu pentadbiran yang menekankan kebajikan, kemanusiaan dan bakti kepada ummah merentasi agama dan bangsa.

Kelima, adil iaitu pentadbiran yang menjunjung tinggi prinsip-prinsip perundangan dalam menegakkan keadilan sebagaimana yang dituntut oleh Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Keenam, nurani iaitu pentadbiran yang mengangkat nilai kerohanian dan logik bertunjangkan wahyu dalam mendepani apa jua cabaran semasa.

Ketujuh insani iaitu pentadbiran yang mempertahankan fitrah kemanusiaan dan kemuliaan insan (karamah insaniyyah).

Tujuh prinsip hala tuju ini, walaupun dijelaskan bahawa ia adalah terjemahan daripada setiap huruf dalam perkataan R-A-B-B-A-N-I, tetapi harus diulas bahawa konsep “Bertuhan” hanya berada di kedudukan atau susunan ketiga, sedangkan ia adalah perkara paling tunjang dalam ajaran Islam.

Begitu pun, apabila diteliti pula huraiannya, sekali lagi berlaku campur-aduk dengan konsep Maqasid Syariah, yang tidak berhubung secara langsung dengan kalimah “Bertuhan”.

Dalam suatu maklumat lain mengenai konsep Rabbani, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyatakan bahawa ia adalah “suatu motivasi kepada ummah untuk meletakkan nilai “Rabbani” iaitu menjadikan Allah SWT segala-galanya dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi getir dan sukar.”

Penjelasan ini disambung lagi dengan keterangan bahawa “Manhaj Rabbani membawa maksud bagaimana cara atau jalan untuk menjadikan ummah meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dan panduan dalam segala amalan, perbuatan dan matlamat hidup serta diniatkan semata-mata kerana-Nya.”

Semua maklumat mengenai konsep Rabbani di atas, berbeza pula dengan prinsip Rabbani dalam kertas Urus Tadbir Rabbani ke Arah Pencapaian Maqasid Syariah, yang dibicarakan dalam suatu wacana anjuran Bahagian Maqasid Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang bertemakan “Maqasid Syariah Asas Manhaj Rabbani.”

Dalam kertas ini, enam elemen dibincangkan sebagai prinsip Rabbani, iaitu pertanggungjawaban (akauntabiliti), ketelusan, keadilan, integriti, persamaan, dan kebebasan.

Apabila ditinjau, prinsip persamaan yang digambarkan seolah-olah bertentangan dengan kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, perkara 153.

Demikian juga, prinsip yang dinamakan kebebasan diisi dengan konsep dakwah, amar makruf nahi mungkar, menghukum kesalahan dan nasihat. Tambahan lagi, penjelasan yang dikemukakan tidak mengikat semua prinsip tersebut kepada peristilahan Rabbani dalam wahyu.

Selain kepelbagaian yang amat sangat daripada aspek konseptual di atas, maklumat mengenai Manhaj Rabbani juga didapati bercampur aduk dengan Maqasid Syariah.

Ketika mempersidangkan Dasar Manhaj Rabbani, didapati Maqasid Syariah yang diletakkan sebagai nilai asas dalam tadbir urus, prinsip panduan, amalan standard, kerangka strategik, prinsip inisiatif baharu berimpak tinggi, prinsip kepada penzahiran implementasi.

Dalam perkara ini, boleh diberikan komentar bahawa bukan sesuatu yang salah dan buruk untuk mensintesiskan atau membina hibrid daripada pelbagai konsep yang memang semuanya Syar‘i.

Namun, wajar disusun semuanya secara teratur. Jika betul konsep Rabbani hendak dijadikan suatu manhaj iaitu proses dan konsep Maqasid Syariah adalah maqasid atau objektifnya, maka konsep yang sesuai perlu diletakkan di tempatnya sama ada sebagai nilai asas dalam tadbir urus, prinsip panduan, amalan standard, kerangka strategik, prinsip inisiatif baharu berimpak tinggi, atau prinsip kepada penzahiran implementasi.

Atas kefahaman ini, perlu diakui bahawa sekurang-kurangnya, amalan standard mesti diisi dengan konsep Manhaj Rabbani, bukan Maqasid Syariah.

Dalam menilai ketidakjituan konseptual ini, adalah batil pula jika “pengenalan Dasar Manhaj Rabbani [yang] merupakan kesinambungan kepada Dasar-dasar terdahulu” dihubungkan dengan konsep Hifz al-Din menurut Mujahid Yusof Rawa.

Menurutnya, Hifz al-Din kononnya “bermakna agama lain terpelihara dari sudut kewujudannya” melalui suatu gimnastik rasionalisasi beralasan bahawa “prinsip universal Islam ialah tiada paksaan dan untuk melaksanakannya Allah menetapkan kewujudan agama lain sepanjang sejarah manusia,” tanpa mempedulikan hakikat keredaan atau kemurkaan Allah SWT dalam Iradat-Nya.

Dengan kata lain, apa yang dikehendaki Mujahid bukan sekadar kebebasan beragama, tetapi pemeliharaan dan penjagaan terhadap agama selain Islam agar agama itu terus wujud, tidak pupus.

Contohnya, katakan suatu agama bukan Islam tertentu telah semakin diabaikan oleh manusia seluruhnya, katakan lagi tinggal seorang sahaja yang beragama tersebut, maka Mujahid hendak memelihara dan menjaga agar orang itu tidak meninggalkan agamanya, malah kalau orang itu sudah tua, Mujahid hendak agama tersebut dianuti oleh orang lain yang lebih muda, agar agama tersebut terus wujud.

Semua kekarutan ini kononnya atas alasan hendak melaksanakan ketetapan Allah SWT yang mewujudkan agama lain sepanjang sejarah manusia.

Setakat ini, dapat dirumuskan bahawa masih ada beberapa isu yang perlu dijelaskan.

Antara yang utamanya adalah kejituan konsep Manhaj Rabbani itu sendiri. Masalah ini perlu disedari memandangkan kepelbagaian maklumat yang ada dan tersebar mengenai konsep ini bersumberkan ucapan dan kenyataan pemimpin negara dan agensi agama.

Elemen dalam Konsep Rabbani menurut Ahli Tafsir

Kejituan sesuatu idea dan konsep keagamaan menuntut rujukan kepada sumber utama iaitu al-Qur’an. Apabila diselidik secara objektif, pelbagai konsep dan idea boleh diekstrak daripada wahyu seperti Rabbani, Falah (qad aflaha al-mukminun), ‘Ibad al-Rahman (wa ‘ibad al-Rahman alladhina…) dan sebagainya.

Dalam semua konsep ini, sudah tentu tidak dapat dinafikan elemen Rasulullah sebagai teladan, keilmuan, kerohanian, aktivisme, rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, nurani, insani, Allah SWT sebagai segala-galanya, tanggungjawab, telus, integriti, persamaan, kebebasan, ilmu, amal, ikhlas dan sebagainya.

Malah, jika dilihat daripada perspektif bersepadu, mungkin boleh dikatakan bahawa konsep Rabbani adalah ‘ubudiyyah yang membawa al-falah atau kejayaan, manakala ‘Ibad al-Rahman adalah hamba yang Rabbani dan berjaya, sedangkan al-Falah adalah ‘Ibad al-Rabbani.

Namun, satu perkara lain yang berkemungkinan besar tidak dapat dinafikan juga adalah perbezaan elemen yang boleh jadi ditekankan dalam konsep berkenaan dan teks sumbernya, jika dianalisis dan diteliti secara mendalam.

Elemen yang berbeza ini, seterusnya, dapat diandaikan lebih sesuai dan relevan diaplikasikan dalam konteks tertentu, berbanding jika diimplementasikan tanpa idealisme analitis.
Dengan itu, mencampur-adukkan pelbagai konsep wahyu, mengakibatkan kesempitan sumber intelektual bagi sarjana mengekstrak panduan tekstual yang relevan dengan keadaan kontekstual yang dihadapi manusia.

Berlandaskan kesedaran ini, tinjauan awal terhadap konsep Rabbani memperlihatkan bahawa beberapa elemen dibincangkan oleh para ulama dan sarjana Islam dalam menghuraikan konsep Rabbani.

Antaranya adalah ilmu, amal, ikhlas, kebergantungan mutlak kepada Allah SWT, tarbiah dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, dalam konteks membincangkan Dasar Manhaj Rabbani, dirasakan elemen yang sepatutnya ditonjolkan adalah pemerintahan, kepemimpinan, urus tadbir dan perundangan. Idea ini adalah bersumberkan syarahan beberapa ahli tafsir terhadap kalimah rabbaniyyin dalam al-Qur’an, surah Ali ‘Imran (3), ayat 79.

“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Contohnya, Abu Ja‘far al-Tabari, yang meriwayat tiga tafsir terhadap kalimah rabbaniyyin, antaranya hum wulat al-nas wa qadatuhum, akhirnya merumuskan bahawa:

وأولـى الأقوال عندي بـالصواب فـي الربـانـيـين أنهم جمع ربـانـيّ، وأن الربـانـيّ الـمنسوب إلـى الرَّبَّـان: الذي يربُّ الناس، وهو الذي يصلـح أمورهم ويربها، ويقوم بها.

Maksudnya: Pendapat yang lebih betul pada pandanganku mengenai (maksud) al-Rabbaniyyin adalah ia kata jamak bagi Rabbani, dan Rabbani adalah bernisbah kepada ketua, iaitu yang mengetuai orang ramai, dan yang memperbaiki urusan mereka dan memerintah dan mendirikan urusan tersebut.

Tambahan lagi, Fakhr al-Din al-Razi, yang mengemukakan empat tafsir terhadap kalimah rabbaniyyin, menyatakan juga bahawa:

فالربانيون هم ولاة الأمة والعلماء… وهما الفريقان اللذان يطاعان. ومعنى الآية على هذا التقدير: لا أدعوكم إلى أن تكونوا عباداً لي، ولكن أدعوكم إلى أن تكونوا ملوكاً وعلماء باستعمالكم أمر الله تعالى ومواظبتكم على طاعته.

Maksudnya: Maka al-Rabbaniyyun adalah pemerintah ummah dan ulama… dan kedua-dua golongan ini adalah yang ditaati. Dan makna ayat [al-Qur’an, surah Ali ‘Imran (3), ayat 79] mengikut tafsiran ini: Aku tidak menyuruh kamu menjadi abdi penyembahku, sebaliknya aku menyuruh kamu menjadi pemerintah dan ulama melalui pelaksanaan kamu terhadap perintah Allah Ta‘ala dan ketekunan kamu dalam ketaatan terhadap-Nya.

Dalam dua nukilan di atas, dua ahli tafsir hebat sepakat meriwayatkan dan mengemukakan antara elemen yang terkandung dalam konsep Rabbani adalah pemerintahan, kepemimpinan, urus tadbir dan perundangan.

Jika demikian, elemen ini yang wajar diberikan fokus dan perhatian dalam membina Dasar Manhaj Rabbani, tanpa menafikan elemen lain seperti ilmu, amal, ikhlas, tarbiah dan sebagainya.

Di samping itu, didapati ada juga ahli tafsir yang tidak mengekstrak elemen pemerintahan dalam syarahan mereka terhadap istilah Rabbani. Contohnya, Sa‘id Hawwa mentafsirkan bahawa ungkapan kunu rabbaniyyin dalam al-Qur’an, surah Ali ‘Imran (3), ayat 79, menyeru manusia menjadi ulama, hukama, orang yang lemah lembut (hulama’ – juga tidak lekas marah, penyabar) dan orang yang bertakwa (atqiya’) melalui mempelajari dan mengajar al-Qur’an.

Sifat mereka ini adalah berpegang kuat dengan agama Allah dan mentaati-Nya melalui ilmu, kefahaman (fiqh) dan kesabaran (hilm), serta juga merupakan ahli ibadat.

Tafsiran ini, sudah tentu tidak menafikan elemen Rabbani yang ditafsirkan oleh ahli tafsir yang lebih muktabar di atas. Demikian juga, ia tidak bermaksud Sa‘id Hawwa menafikan atau bahkan jahil mengenai kekayaan elemen dalam tafsiran konsep Rabbani.

Dr Wan Adli Wan Ramli

Perbincangan di atas merujuk kepada satu ayat sahaja, sedangkan ada dua lagi ayat yang juga mesti dikaji. Justeru, pembentangan ini sudah tentu menuntut suatu penyelidikan dilaksanakan demi mencambahkan dan kemudian menjitukan konsep Rabbani dan elemennya yang wajar, sesuai dan utama bagi menjadi teras kepada Dasar Manhaj Rabbani.

Ini selaras dengan hasrat mantan Perdana Menteri dilaporkan merujuk kepada peranan cendekiawan dan sarjana Islam di universiti dalam merealisasikan Dasar Manhaj Rabbani, melalui kolaborasi pintar, seminar, persidangan, dan dialog universiti-industri berdasarkan kajian penyelidikan.

Penutup

Pelbagai konsep dalam Islam telah diangkat sebagai dasar dalam pemerintahan kerajaan di Malaysia yang silih berganti. Antara pelbagai konsep lalu, dirasakan konsep Rabbani paling sesuatu kerana ia mengandungi dan terdiri daripada elemen pemerintahan, kepemimpinan, urus tadbir dan perundangan, tanpa menafikan elemen lain seperti ilmu, amal, ikhlas, tarbiah, Rasulullah sebagai teladan, keilmuan, kerohanian, aktivisme, rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, nurani, insani, Allah SWT sebagai segala-galanya, tanggung jawab, telus, integriti, persamaan, kebebasan dan sebagainya.

Selain itu, berdasarkan sintesis dan susunan sedia ada, konsep Rabbani boleh sahaja dijadikan suatu manhaj iaitu proses ke arah konsep Maqasid Syariah yang merupakan maqasid atau objektifnya. Oleh itu, suatu penyelidikan lanjut wajar dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -