Taktik guna lori tanah seludup minyak masak subsidi

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

PASIR MAS:
Sebanyak 2,482 kilogram minyak masak dan 540 liter minyak petrol dirampas dalam Operasi Membanteras Penyeludupan dan Ketirisan Barang Kawalan Bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, operasi tersebut dijalankan pada jam 5 petang dua hari lalu.

Katanya operasi itu diadakan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Pengkalan Kubor dan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 8.

- Advertisement -

“Berdasar maklumat risikan pasukan mengesan pemunggahan minyak masak paket 1 kg bersubsidi menggunakan sebuah lori keluar dari kilang pembungkus minyak masak berlesen di Pasir Puteh.

“Pasukan mengekori sebuah lori tiga tan tersebut dari Pasir Puteh menuju ke sebuah pengkalan haram di Pasir Mas.

“Pasukan menemui sebuah stor haram dan melakukan serbuan pada jam 7 malam di Stor Pengkalan Haram Mat Yih, Jeram Perdah,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menjumpai sebuah lori mengangkut tanah yang mencurigakan.

Kata beliau ia disyaki digunakan dengan niat melakukan penyeludupan, membawa dan memiliki barang kawalan minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi.

“Hasil pemeriksaan keseluruhan menemui sebanyak 2,482 kilogram minyak masak paket 1 kilogram dalam lori tersebut.

“Semasa pemeriksaan dilakukan tiada individu atau pemilik yang mengaku memiliki barangan dan kenderaan serta muatannya.

“Mereka disyaki melarikan diri setibanya anggota keselamatan di lokasi tersebut setelah menyedari diekori pasukan serbuan,” ujarnya.

Beliau memberitahu pasukan membuat penyitaan barangan serta kenderaan dan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut.

Tambahnya juga modus operandi yang digunakan penyeludup bermula dari kilang pembungkus minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi.

Azanizam juga berkata, penyeludup disyaki menggunakan lori mengangkut tanah, pasir dan batu bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan dikesan dan mengaburi pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain, katanya, satu lagi operasi dijalankan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak petrol ke negara jiran.

Katanya, pasukan serbuan mengesan pergerakan sebuah kereta melakukan pemunggahan minyak petrol dari stesen ke stesen minyak berhampiran sempadan negara yang diisi dalam tong jerikin.

“Pasukan berjaya menahan sebuah kenderaan berpendaftaran Malaysia yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran Kedai Kek Ilah, Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Namun pemandu kenderaan berkenaan berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran, pemeriksaan lanjut menemui 18 tong jerikin berisi petrol dengan anggaran sebanyak 540 liter diletakkan didalam but belakang kenderaan,” katanya.

Katanya, barang kawalan dan kenderaan tersebut disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan nilai sitaan anggaran minyak petrol sebanyak RM1,100 dan kenderaan anggaran sebanyak RM5,000.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi 1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

- Advertisement -