‘Terima kasih Menteri Besar baiki rumah saya’

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Bukan sekadar cakap kosong untuk memikat hati rakyat sebaliknya apa yang dijanjikan ditunai segera membuktikan tanggungjawab sebagai pentadbir negeri.

Atas biaya duit poket Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dibantu seorang individu lain, bumbung dan lantai rumah pusaka milik Zurina Md Zin, 46, yang sebelum ini terlalu uzur kini hampir siap dibaiki serta diganti baharu.

- Advertisement -

Beliau sebelum ini berkunjung kediaman wanita berkenaan setelah kisahnya disiarkan media tempatan dua bulan lalu.

Ketika kunjungan itu Sanusi berjanji akan membaiki kerosakan rumah berkenaan terutama bumbung dan lantai yang mengalami kerosakan agak teruk serta membahayakan keluarga terbabit.

Keadaan rumah Zurina sebelum dibaiki.

Kisah wanita cekal mencari rezeki berbasikal mengambil upah membeli barangan keperluan jiran yang turut dipaparkan di Harakahdaily ketika kunjungan Menteri Besar ke rumahnya Kampung Tengah, Kuala Kedah, 17 Jun lalu.

Suaminya Halim Bakar yang mengidap kanser ketika itu sudah 40 hari dijemput Ilahi.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana membaiki kerosakan rumah saya.

“Dahulu saya pernah minta bantuan baiki rumah tetapi tak dapat,” kata beliau kepada Harakahdaily ketika dihubungi, hari ini.

Sanusi ketika menziarahi suami Zurina yang terlantar sakit pada 17 Jun lalu.

Beliau yang kini berstatus ibu tunggal setakat ini masih belum mempunyai kerja tetap untuk menyara dua orang anaknya yang berumur 11 dan lapan tahun.

Katanya, situasi pandemik Covid-19 yang agak serius sejak kebelakangan ini menghadkannya untuk meneruskan mengambil upah membeli barangan keperluan jiran-jiran.

“Saya cuma tolong belikan untuk dua tiga orang jiran yang berhampiran sahaja. Tidak berani nak buat seperti dahulu sebab ada orang dalam kampung ini yang positif Covid,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Pegawai Media Menteri Besar, Helmi Khalid, kos membaik pulih kerosakan rumah terbabit mencecah RM15,000. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -