Virus Covid-19 muncul semula di New Zealand

- Advertisement -

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden, mengarahkan perintah berkurung diperluaskan berikutan kes Covid-19 negara itu melonjak naik hari ini dengan wabak itu merentasi dari bandar terbesar, Auckland ke ibu negara di sini.

Warga New Zealand sebelum ini hidup dalam keadaan bebas virus itu dan tanpa sebarang sekatan sehingga Arden, Selasa lalu, mengarahkan perintah berkurung tiga hari di seluruh negara, dan 7 hari di Auckland selepas kes pertama dikesan selepas bebas virus itu sejak Februari lalu.

- Advertisement -

Arden melanjutkan tempoh perintah berkurung hingga tengah malam 24 Ogos ini dengan berkata, wabak itu telah merebak ke bandar lain.

“Kita tidak tahu kesan skala besar wabak varian Delta. Kita mahu seluruh negara berjaga-jaga pada tahap tinggi,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Pihak berkuasa kesihatan pula memberitahu bahawa 11 kes baharu direkodkan hari ini dengan 3 kes berlaku di bandar ini.

Tiga orang yang dijangkiti virus ini dilaporkan pergi ke Auckland dan melawat beberapa lokasi bandar itu.

Ketua Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield, pula memberi amaran bahawa perintah berkurung perlu dilaksanakan di Auckland, iaitu pusat wabak ini kerana dikhuatiri boleh merebak menjadi lebih teruk.

Arden mendapat pujian kerana usahanya berjaya menghalang penularan COVID-19 melalui strategi penyisihan, perintah berkurung ketat dan menutup sempadan antarabangsa negara itu pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, kerajaannya kini menghadapi kritikan kerana kelewatan pemberian vaksin, selain kenaikan kos berikutan pergantungan negara kepada tenaga kerja asing.

Menurut Reuters hanya kira-kira 19 peratus daripada 5.1 juta penduduk negara itu menerima vaksin lengkap, iaitu paling rendah di kalangan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -