Sambutan tahun baru Islam di Kelantan berbeza

- Advertisement -

Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA

KOTA BHARU:
Sambutan tahun baru Islam di Kelantan agak berbeza apabila ia dimasyhurkan sebagai Hijratul Rasul dan bukan Maal Hijrah seperti amalan di peringkat pusat dan negeri-negeri lain.

Pertukaran nama kepada Hijratul Rasul dimulakan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menerajui kerajaan Kelantan.

Ahli Parlimen Bachok Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pertukaran nama itu dibuat Tok Guru bagi memperlihatkan nama Rasulullah s.a.w perlu disinonimkan pada sambutan tersebut.

- Advertisement -

Katanya kena ada nama batang tubuh baginda dalam sambutan tersebut yang merupakan peristiwa penting dalam sejarah Islam.

“Kalau kita sebut Maal Hijrah tidak nampak perkataan Rasul, maka Tok Guru Nik Abdul Aziz menukar nama kepada Hijratul Rasul bagi sambutan tahun baru Islam di Kelantan.

“Ini kerana dalam kehidupan kita perlu mengikut apa yang dibuat Rasulullah,” katanya yang juga anak arwah Tok Guru pada kuliah mingguan yang diadakan secara atas talian di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan hari ini.

Sementara itu pada sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan menobatkan bekas Johan Qariah Antarabangsa Dato’ Faridah Mat Saman sebagai Tokoh Hijratul Rasul 1443.

Tokoh kelahiran 29 Oktober 1948 di Pasir Mas itu merupakan anak pasangan Mat Saman Abdul Rahman dengan Che Yam Che Had.

Kehebatan qariah itu tiada tandingan apabila dinobatkan sebagai Johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sebanyak lapan kali iaitu pada tahun 1964, 1965, 1972, 1976, 1977, 1989, 1990 dan 1991.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail II pada 1955 hingga 1961 sehingga tamat darjah enam.

Pada usia 13 tahun beliau meneruskan pengajian tidak formal di Pondok Mundok Haji Razali Narathiwat, Thailand selama empat tahun bermula 1960 hingga 1963.

Beliau mewarisi bakat dalam bidang tarannum daripada datuk dan neneknya iaitu Tuan Guru Abdul Rahman Che Man dan Zainab Osman.

Beliau pernah mendapat bimbingan daripada Tuan Haji Ahmad Ma’som (Ahmad Ma’som Pergau), Tuan Guru Haji Ghazali Mandailing dari Indonesia, Dato’ Nik Jaafar dan Haji Hassan Musa.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Mejar (B) Hizam Suraidi pada 1965 dan dianugerahkan enam cahaya mata.

Faridah masih mencurahkan bakti kepada anak bangsa dengan mengadakan kelas pengajian al-Quran dan tarannum.

Majlis sambutan Hijratul Rasul secara atas talian itu diadakan pada
malam Rabu lepas bermula solat Maghrib.

Program terbabit boleh diikuti di Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK). Perasmian disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Pada program itu turut diadakan anugerah Tokoh Saudara Kita, Anugerah Jajahan Cemerlang, Anugerah Khas Frontliner, Anugerah Usahawan Dai’e Halal, Anugerah Sekolah Terbaik (Yayasan Islam Kelantan).

Selain itu Anugerah Pelajar Terbaik (Yik), Anugerah Pelajar Terbaik (Jabatan Pendidikan Negeri), Anugerah Pondok Terbaik dan Anugerah Kecemerlangan Orang Asli. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -