Himpunan MP: Retorik politik tidak bertanggungjawab

Oleh NOR HAZWANI NOH

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Dataran Merdeka pada Isnin lalu hanyalah retorik politik yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berpendapat bahawa kehadiran beberapa pimpinan pembangkang yang turut serta hadir ke jalanan kononnya untuk mendesak bicara keluh kesah rakyat hanyalah satu retorik politik murahan.

Justeru itu, beliau berharap tiada rakyat Malaysia yang terpedaya lagi dengan retorik politik murahan Pakatan Harapan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Fakta menunjukkan mereka boleh tidur sebantal sebelum kejatuhan Barisan Nasional. Kemudian bercakaran sesama sendiri antara Tun Dr Mahathir dan Dato Seri Anwar Ibrahim hingga menyebabkan Tun Dr Mahathir merajuk dan meletak jawatan.

“Hari ini, Tun Dr Mahathir berdemonstrasi bersebelahan DS Anwar Ibrahim. Rakyat jangan ditipu kali kedua oleh propaganda politik Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Shahir berkata, umpama satu perancangan yang telah diatur, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan berhimpun tanpa menghiraukan penularan Covid-19 yang mengganas.

“Tidak cukup dengan kerenah kurang ajar dan tiada adab nilai-nilai ketimuran rakyat Malaysia, pembangkang berteriak dan menghambur kata-kata kesat sepanjang empat hari di Dewan Rakyat.

“Malah mereka telah menggunakan anak-anak muda untuk turun ke jalanan mengadakan demonstrasi ketika Covid-19 memuncak pada hujung minggu,” katanya.

Tambahnya, anak muda perlu bijak dalam membezakan antara permata dan kaca.

“Kalian sudah ditipu oleh Pemuda Pakatan Harapan ketika itu, di bawah Syed Saddiq.

“Semua yang dijanjikan di dalam Manifesto PH untuk anak muda hanya tinggal janji manis. Kini Syed Saddiq menggunakan platform MUDA untuk menjanjikan bulan dan bintang kepada anak muda.

“Bagaimanakah mahu memimpin anak muda jika diri sendiri didakwa dengan kes pecah amanah?” soalnya.

Justeru itu, kata Shahir, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia bersama-sama kepimpinan Pemuda Perikatan Nasional menyeru semua pihak kekal fokus dan bersatu demi manfaat rakyat Malaysia.

“Ingatlah, taruhan percaturan politik pada waktu ini adalah nyawa-nyawa rakyat yang tidak berdosa. Berentaplah secara ‘gentleman’ pada Pilihan Raya Umum ke-15) PRU-15 nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2022