Kehidupan pasca-pandemik: Interaksi dan kerajaan

PANDEMIK COVID-19 yang sedang mencengkam negara dan dunia telah membawa banyak perubahan kepada hidup kita. Selain dari impak ekonomi yang memberi kesan besar kepada kita semua, terdapat juga impak-impak sosial. Pandemik ini telah memaksa kita mengubah cara hidup kita. Perubahan ini dijangka akan terus kekal walaupun setelah pandemik ini berakhir. Berikut adalah kesan-kesan tersebut.

Advertisement

Perniagaan atas talian (online) akan terus berkembang

Satu kajian oleh Standard Chartered tahun lepas menunjukkan 73 peratus rakyat Malaysia hari ini lebih selesa untuk membeli atas talian (online). Sebelum pandemik hanya 30 peratus rakyat Malaysia memilih untuk membeli secara online.

Ada beberapa sebab kenapa ini berlaku dan di antaranya adalah:

a. Pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan yang menyebabkan mereka susah hendak begerak dengan bebas.

b. Pelbagai langkah-langkah di pasaraya, pasar atau kedai-kedai seperti penjarakan sosial, pendaftaran dan terpaksa beratur panjang dan masa membeli-belah yang dihadkan.

c. Pasaraya, pasar atau kedai-kedai yang ditutup akibat pelbagai sebab seperti terdapat kes COVID-19 di kalangan kakitangan atau pengunjung.

d. Kebimbangan COVID-19 akan tersebar melalui wang kertas atau duit syiling yang bertukar tangan.

Menurut Juwai IQI pada bulan Jun lepas, 57 peratus lebih ramai rakyat Malaysia membeli secara atas talian selepas pandemik. Pembeli mempunyai pilihan yang lebih banyak dengan membeli atas talian. Mereka dapat membandingkan kualiti dan harga tanpa keluar dari rumah mereka. Mereka juga berpeluang membaca maklum balas dari pembeli-pembeli lain.

Apabila rakyat Malaysia telah menerima pembelian secara atas talian sebagai satu cara hidup maka ini membuka peluang kepada lebih ramai pengusaha dan peniaga. Contohnya menurut Juwai juga bilangan penjual Lazada meningkat 300 peratus selepas pandemik.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melapor transaksi jual beli dalam talian mencatatkan lonjakan ketara sehingga RM2.5 bilion tahun lepas berbanding RM1.7 bilion dalam tahun 2019. Peningkatan jumlah perniagaan dalam talian yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga meningkat dengan 489,958 tahun lalu berbanding 243,560 dalam tahun 2019.

Perniagaan cara baru tidak memerlukan modal yang banyak berbanding dengan cara tradisi. Anda tidak perlu menyewa ruang kedai atau menggaji pekerja yang ramai untuk menjalankan perniagaan. Selain dari menggunakan platform atau aplikasi yang ternama ramai yang memasarkan produk mereka melalui media sosial. Memandang masyarakat telah biasa dengan pembelian atas talian maka terdapat mereka yang dapat meneruskan kehidupan ketika pandemik dengan cara begini. Ada seorang pengusaha makanan dapat menjual sehingga 100 bungkus nasi berlauk sehari melalui media sosial.

Terdapat 2 kemungkinan selepas pandemik berakhir. Sama ada masyarakat akan kembali membeli secara tradisi atau terus membeli secara di atas talian. Walau bagaimanapun trend di atas talian ini telah bermula sejak sebelum pandemik. Pandemik hanya telah mempertingkatkan transaksi dan meluaskannya. Justeru itu ia tetap akan menjadi satu sektor yang penting.

Media sosial menjadi semakin penting

Ketika pandemik di mana pergerakan adalah terhad dan rakyat tidak dapat berkumpul atau bertemu dengan bebas maka media sosial merupakan saluran utama untuk mereka berinteraksi. Media sosial seperti WhatsApp dan Facebook menjadi penghubung di antara mereka. Sama ada untuk bertanya khabar atau bersosial ia merupakan saluran paling penting.

Jika sebelum pandemik mereka berinteraksi dengan bebas seperti di restoran, warung, gerai, masjid, surau, pasar, pasar malam, padang atau taman tetapi ketika pandemik mereka bertemu di sosial media. Satu kelebihan pertemuan di sosial media ialah ia melibatkan lebih ramai peserta dari pertemuan bersemuka sebelum pandemik. Pertemuan di warung mungkin paling ramai melibatkan 10 orang tetapi di dalam ‘group’ sosial media boleh melibatkan berpuluh-puluh orang peserta.

Malah program-program atas talian seperti ceramah, kuliah, forum, seminar atau konvensyen dapat menarik lebih ramai peserta dari jika diadakan secara bersemuka. Mereka yang mungkin tidak dapat hadir kerana faktor-faktor jarak dan masa tidak mempunyai masalah untuk hadir.

Tetapi ada yang tidak bersetuju dengan program atau mesyuarat secara atas talian kerana mendakwa ia tidak mewujudkan keakraban di antara peserta. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada citarasa masing-masing. Sesuatu yang baharu memang akan mengambil masa. Saya tahu satu kumpulan guru-guru sekolah yang dapat menganjurkan bacaan Yaasin setiap malam secara atas talian sepanjang PKP. Mereka dapat mengumpulkan guru-guru sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara. Program ini telah berjaya mengukuhkan ukhuwah di antara mereka dan ia tidak mungkin dapat dilaksanakan secara bersemuka. 

Kerajaan tidak boleh bekerja sambil lewa

Pandemik melihat sentimen rakyat berubah-ubah. Kes positif yang dikesan ada masanya naik mendadak dan ada masanya menurun. Langkah-langkah kerajaan untuk menangani pandemik ada masanya dipuji dan ada masanya dipertikai. Keadaan sungguh tidak stabil. Tambahan pula terdapat mereka yang sentiasa mencari kesalahan kerajaan. Mencurah minyak kepada api yang marak. Mengeksploitasi kesusahan untuk kepentingan politik.

Justeru itu kerajaan perlu bekerja berkali-kali ganda lebih keras. Kerajaan perlu lebih teliti. Pemimpin kerajaan perlu lebih berhati-hati. Pandemik mengajar rakyat untuk mengambil tahu mengenai perkembangan di sekeliling mereka. Mereka lebih kritikal. Mungkin disebabkan mereka terkurung di dalam rumah atau kebebasan mereka dihadkan maka mereka mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan perkara-perkara yang sebelum ini tidak menarik minat mereka.

Tambahan pula media sosial memainkan peranan yang penting. Menurut DATAREPORTAL terdapat 28 juta pengguna media sosial di Malaysia pada tahun 2020 atau 86 peratus dari penduduk negara ini. Peningkatan sebanyak 7.7 peratus atau 2 juta dari tahun 2019. Sementara KASPR Datahaus melaporkan peningkatan penggunaan internet di Malaysia pada 3 hari pertama PKP (18 Mac hingga 20 Mac 2021) adalah yang kedua tertinggi di dunia iaitu 9 peratus. Menurut kajian Statista (2020), 29.7 peratus pengguna media sosial di Amerika Syarikat menggunakan media sosial 1 hingga 2 jam lebih lama ketika pandemik dan 20.5 peratus menggunakannya 30 minit hingga 1 jam lebih lama. Sudah tentu trend yang sama berlaku di negara kita. Statista juga melaporkan rakyat Malaysia melayani media sosial sebanyak 3.01 jam setiap hari. Justeru itu peranan dan keberkesanan media sosial tidak boleh dinafikan.

Keadaan yang sama akan kekal selepas pandemik. Rakyat tidak akan menerima begitu sahaja sebarang keputusan kerajaan atau penjelasan pemimpin kerajaan tanpa dibahas dengan panjang lebar di dalam media sosial. Mereka perlu menjadi lebih profesional dan meyakinkan. Setiap tindakan atau kata-kata perlu difikirkan beberapa kali kerana mereka berada di bawah mikroskop rakyat.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Kajian Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 23/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4508131102539185/