PAS Lahad Datu komited bantu asnaf

- Advertisement -

Oleh MARTINA TAHIL

LAHAD DATU:
Semarak Kasih Aidiladha anjuran PAS Silam yang merupakan aktiviti kebajikan tahunan menutup tirainya semalam dengan mengagihkan kit makanan harian kepada 150 keluarga asnaf dan mereka yang terputus bekalan.

Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Silam, Nizam Latuah berkata, program itu salah satu aktiviti yang dimasukkan dalam takwim gerak kerja PAS Silam yang memfokuskan aspek kebajikan masyarakat setempat.

- Advertisement -

Tambahnya golongan asnaf bukan sahaja dibantu pada program Semarak Kasih Ramadan bahkan dibantu untuk perayaan Aidiladha dan akan terus dibantu untuk program masa hadapan secara berterusan.

“Setiap agihan sumbangan yang dilakukan pasti akan mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19,” katanya yang juga Ahli Dewan Majlis Lahad Datu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Silam, Landari Labobo yang turut hadir mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang tidak jemu menghulurkan bantuan dan sokongan dalam menjayakan program tersebut.

“Kita berharap agar sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak keluarga asnaf dan mereka yang memerlukan dalam menyambut Aidiladha esok,” katanya.

Turut hadir pada program terbabit Ketua Penerangan PAS Silam, Mohd Ahzam Che Mat serta beberapa ahli jawatankuasa PAS kawasan, pemuda dan muslimat. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -