Pemuda agih bakul makanan untuk penduduk terjejas

- Advertisement -

TEMERLOH: Pemuda PAS Perikatan Nasional (PN) dengan kerjasama PAS Kawasan Temerloh telah mengagihkan bakul makanan kepada para penduduk yang terjejas di sekitar Parlimen ini, kelmarin.

Ketua Pemuda PAS PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin mengetuai agihan dari rumah ke rumah bakul makanan diperuntukkan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

- Advertisement -

Turut bersama beliau adalah Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan Hasanuddin Salim serta Komandan Jabatan Amal Malaysia Temerloh, Badli Ahmad mengadakan agihan itu.

Menurut Khairil, beliau berharap pemberian itu dapat meringankan beban penduduk di mana beliau turut akan memanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menangani kebajikan warga emas berdasarkan isu ditemuinya.

“Ketika kita masih bergelut dengan pandemik COVID-19, ramai juga di kalangan kita bergelut untuk meneruskan hidup. Ada di antara mereka yang warga emas dan OKU (orang kelainan upaya), namun duduk sebatang kara tanpa keluarga disisi.

“Saya bersama PAS Temerloh dengan kerjasama KPWKM dan Pemuda PN berpeluang menyantuni mereka menyampaikan bakul makanan PERMAI. 

“Kami bertanggungjawab untuk menyalurkan bantuan ini supaya kadar kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat dapat dibantu. Misi bantuan dan kemanusiaan kami tidak mengenal warna kulit, fahaman agama ataupun politik. 

Insya-Allah saya juga akan berbincang bersama JKM agar kebajikan masyarakat disini khususnya warga emas lebih terjaga dan sejahtera. 

“Terima kasih penduduk Flat Taman Sri Kemuning, Temerloh kerana sudi menerima kunjungan kami dengan penuh keceriaan. Semoga Tuhan merahmati kita semua dan terus diberi kekuatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -