SETELAH hampir dua tahun berada dalam pandemik Covid 19, bagai tiada kemajuan yang signifikan dari segi kehidupan yang dijalani oleh penduduk seluruh dunia. Virus yang kali pertama muncul di Wuhan, China pada akhir tahun 2019, kini sudah menjangkiti hampir 180 juta orang di seluruh dunia dan membunuh seramai hampir 4 juta penduduk dunia seperti yang dilaporkan kepada WHO.
Di Malaysia sendiri, hampir 730 ribu kes dicatatkan dengan kes kematian hampir 5,000 orang. Arahan untuk mengikut SOP dan perlu duduk di rumah masih diteruskan. Harapan yang tinggi digantungkan kepada program vaksinasi yang diharapkan dapat membendung wabak ini.
Justeru seluruh dunia, sedang melaksanakan program ini dengan begitu gigih di negara masing-masing. Di Malaysia sendiri pihak KKM dan kerajaan telah mengambil banyak langkah proaktif untuk membendung wabak ini setelah kenaikan kes jangkitan secara mendadak sebelum PKP 3.0 dimulakan.
Untuk program vaksinasi, IPT turut dilibatkan dalam program vaksinasi untuk mempercepat proses vaksinasi, malah bilangan IPT sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT akan terus dipertingkatkan. KPT turut komited membantu kerajaan melalui Program Vaksinasi Bergerak untuk merealisasikan Pelan Pemulihan Negara supaya negara dapat keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 secara berfasa.
Masih terngiang amaran yang dikeluarkan oleh WHO pada Mei 2020, bahawa Covid-19 tidak akan hilang dan penduduk dunia perlu belajar hidup dengan virus ini. Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mencadangkan agar setiap negara sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga pada tahap tertinggi.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan menyatakan telah ada strain dan varian baru virus Covid-19 yang menyebabkan sangat sukar untuk diramalkan bila masalah ini akan dapat diatasi. Nampak seperti pandemic Covid-19 tidak berkesudahan!
Setelah setahun berlalu, apa yang dibimbangkan oleh WHO itu macam ada benarnya. Varian Covid-19 Delta dan Beta disifatkan sebagai varian yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian yang serius. Varian Covid-19 adalah merupakan virus yang telah berubah dan berlainan daripada bentuk virus yang asal.
Varian baharu virus itu berupaya menjangkiti dengan cepat dan mengakibatkan kes kematian yang tinggi. Antara kedua jenis varian ini, Delta dikenal pasti paling mudah menular setakat ini dan telah dikesan di sekurang-kurang 85 negara.
Varian Delta dikatakan pertama kali dikesan di India dan mencetuskan tsunami Covid-19 di India sehingga sistem perkhidmatan kesihatan di negara itu hampir lumpuh. Varian Beta pula dikatakan berasal dari Afrika Selatan dan pertama kali ditemukan pada Disember 2020.
Kebanyakan kes varian Beta dikesan melalui kes sporadik saringan kontak rapat dan varian jenis ini telah dikesan di banyak kluster di seluruh negara termasuk di Kelantan.
Kami turut melakukan tinjaun ringkas mengenai jumlah penerbitan berkaitan Covid-19 di peringkat global menggunakan aplikasi EZ Proxy di USIM. Dengan memfokus kepada penerbitan yang diindeks dalam Science Direct, pangkalan data berkaitan penyelidikan saintifik dan perubatan; hasil carian menunjukkan hanya terdapat 1 penerbitan sahaja dilaporkan pada tahun 2010 berkaitan dengan Covid-19.
Tiada penerbitan direkodkan pada tahun 2011-2018. Apabila wabak ini mula dikesan pada Disember 2019, ia telah meningkatkan penerbitan pada tahun berkenaan kepada 15 penerbitan, namun kebanyakannya adalah artikel berbentuk review.
Walaubagaimanapun apabila wabak ini diistiharkan sebagai pandemik oleh WHO pada awal tahun 2020, ia telah melonjakkan bilangan penerbitan berkaitan Covid-19 hingga 27,453 artikel sepanjang tahun berkenaan dengan hampir 30 peratus daripadanya merupakan artikel yang ditulis hasil dapatan eksperimen terkini yang telah dilakukan dalam makmal.
Untuk tempoh separuh tahun pada tahun ini pula, Januari hingga Jun 2021, jumlah penerbitan artikel adalah 38,986 artikel iaitu melampaui bilangan keseluruhan artikel yang telah diterbitkan sepanjang tahun lalu!
Hampir 50% daripadanya adalah artikel yang ditulis berdasarkan eksperimen terkini yang dilakukan di makmal. Jumlah artikel ini dijangka akan terus meningkat sehingga melampaui 50,000 artikel pada hujung tahun ini.
Keadaan ini menunjukkan bahawa di peringkat global, ahli sains semakin melipatgandakan usaha melakukan penyelidikan mengenai Covid-19 supaya lebih memahami virus ini, membendungnya dari terus merebak dan seterusnya mengakhiri pandemik yang telah dicetuskan oleh virus ini.
Kisah Namrud dan nyamuk
Umumnya semua orang pernah mendengar kisah Namrud kerana al-Quran turut menukilkan kisah Nabi Ibrahim yang dibakar oleh Namrud kerana telah merosakkan berhala sembahan kaumnya. Namrud hidup sekitar tahun 2275 SM – 1943 SM dan merupakan salah seorang Raja yang memerintah Mesopotamia purba (negara Iraq).
Walaupun nama Namrud tidak dinyatakan dengan jelas ketika al-Quran memaparkan kisah ini, perspektif sejarah mendorong sejarawan muslim bersetuju bahawa raja yang berkuasa di zaman baginda adalah Namrud.
Antara sejarawan terkenal dan mufasir tersohor yang menegaskan perkara ini ialah Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya. Diberitakan bahawa Namrud adalah raja pertama dalam sejarah kemanusiaan yang berjaya menundukkan seluruh kerajaan dunia di bawah kekuasaannya.
Beliau juga merupakan raja pertama yang memerintah dunia dengan penuh kekerasan dan kekejaman tanpa sedikitpun rasa belas kasihan.
Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa Namrud merupakan pakar dalam bidang seni reka, matematik dan ilmu falak. Beliau dilaporkan telah memperkenalkan sistem sexagesimal yang membahagikan bulatan kepada 360 darjah.
Selain itu beliaulah yang memperkenal sistem 24 jam sehari dengan setiap jam mengandungi 60 minit dan setiap 1 minit dibahagikan kepada 60 saat.
Di samping itu, Namrud dikatakan mahir dalam pengiraan matematik dalam pembinaan bangunan besar, jambatan, kuil, mahligai dan empangan. Beliau telah menggunakan ilmu falak untuk mencipta pelbagai sistem bagi meramal nasib seperti horoskop dan tilik nasib tapak tangan.
Beliau turut dilaporkan sebagai orang pertama yang menggunakan tanah liat yang dibakar sebagai bahan asas binaan ketika membangunkan sistem saliran di lembah Tigris dan Euphrates.
Beliau terlalu yakin dengan kebijaksanaan dan daya intelektual beliau yang tinggi sehingga mampu membina tamadun dengan berbagai mercu tanda hebat, di luar jangkauan pemikiran manusia, lalu menjadikan beliau sombong dan akhirnya mengaku diri sebagai tuhan.
Malah setelah berulang kali diseru agar beriman, beliau dengan angkuh mengisytiharkan perang ke atas Allah SWT, Tuhan Nabi Ibrahim AS.
Menurut riwayat, seluruh bala tenteranya dikerah bersiap siaga di medan tempur untuk berhadapan dengan tentera Allah. Ketika inilah Allah mengutuskan tentera nyamuk yang besar jumlahnya sehingga melitupi sinaran cahaya mentari.
Nyamuk-nyamuk tersebut menyerang dengan menghisap darah dan memakan daging bala tentera Namrud sehingga tiada yang tinggal daripada mereka itu melainkan tulang belulang. Seekor nyamuk telah berjaya masuk ke kepala Namrud melalui hidung dan menggigit otaknya.
Ini menyebabkan sakit kepala yang sangat dahsyat sehingga dia memerintahkan pengawalnya untuk memukul kepalanya dengan kasut dan tukul besi agar rasa sakit yang dideritanya hilang. Menjunjung perintah Namrud, pengawal beliau telah memukul kepalanya dengan sangat keras hingga menyebabkan kematiannya.
Kembali Mengingati Allah
Kisah Namrud memberikan ibrah bahawa Allah SWT mampu menghina atau membunuh seseorang itu dengan hanya mendatangkan makhluk yang kecil dan nampak lemah seperti nyamuk. Nyamuk ini telah memberikan penghinaan yang besar kepada Namrud yang takabur.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: “Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?” (Al-Baqarah:26)
Dalam konteks tafsiran ayat ini, Syeikh Muhammad Uthaimin menitipkan kata bahawa walaupun nyamuk menurut ayat ini adalah seekor haiwan yang sangat lemah, namun di sebalik kelemahan itu ia mampu menerobos masuk ke kamar peraduan para diktator untuk mengganggu lena seterusnya memusnahkan hidup mereka.
Jika kita kaitkan kisah ini dengan situasi pandemik yang kita alami sekarang ini, virus Covid-19 yang Allah datangkan untuk menguji kita terlalu kecil saiznya sehingga tidak terlihat oleh mata.
Mungkin Allah menghantar virus ini untuk mengingatkan kita umat manusia yang telah alpa dengan berbagai kemajuan teknologi dan kecanggihan sistem keselamatan sehingga lalai untuk mensyukuri Allah, sama seperti Allah menghantar nyamuk kepada Namrud yang sombong sehingga mengaku sebagai Tuhan.
Sekiranya nyamuk menyerang Namrud dengan menggigit otaknya, virus Covid-19 menyerang mangsanya melalui sistem pernafasan terutama paru-paru.
Kehadiran Covid-19 sekurang-kurang menyedarkan kita semua bahawa banyak aktiviti yang kita lakukan sebelum pandemik seperti berjabat tangan, makan di restoran, berkumpul bersama kawan dan sanak saudara, bermusafir dalam dan luar negara, solat berjemaah serta aktiviti muamalat yang lain sebenarnya adalah suatu nikmat Allah SWT yang terlalu jarang kita syukuri.
Ini mungkin sebahagian dari ibrah yang Allah ingin kita raih semasa musim pandemik ini. Pada masa fasa PKP ini baru kita merasai betapa besarnya nikmat berkenaan.
Sesuatu bencana yang menimpa manusia juga biasanya Allah datangkan kerana ia adalah hasil kerosakan yang disebabkan oleh perbuatan manusia itu sendiri. Seperti Firman Allah: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” (Ash-Shura:30)
Kehadiran virus Covid-19 yang lemah dengan saiz yang sangat kecil ternyata mampu menjejaskan secara signifikan sistem kesihatan, keselamatan, ekonomi, sosial dan pendidikan penduduk seluruh dunia.
Untuk kalangan yang ingin berfikir, pandemik ini mungkin suatu isyarat dari Allah SWT kepada manusia supaya kita kembali ke jalanNya. Mungkin sudah tiba masa untuk kita bermuhasabah diri, beristighfar sambil memohon doa kepada Allah SWT agar wabak ini berakhir.
Mungkin kita boleh belajar daripada negara tetangga kita Brunei yang hanya mempunyai 259 kes Covid-19 dengan hanya tiga kes kematian sahaja.
Selain mencatatkan angka jangkitan paling rendah di kalangan negara ASEAN, Brunei dilapurkan membuka semula sektor ekonomi termasuk aktiviti pelancungan dan sesi persekolahan telah berjalan seperti biasa.
Manusia tidak harus angkuh dengan ilmu sains dan kemajuan teknologi perubatan yang sedia ada, kerana setiap satunya ada keterbatasan tersendiri dan berlaku dengan izin Allah juga.
Di samping melakukan ikhtiar lazim seperti mematuhi SOP, suntikan vaksin dan sebagainya, inisiatif turut perlu dilakukan untuk manusia lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dalam konteks ini, seperkara lagi yang mungkin boleh diamati untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam daripada pengalaman Brunei dalam menghadapi pandemik ini antara lain ialah dengan melazimi tadarus al-Quran dan tadabur maknanya.
Keberhasilan pendekatan ini secara sepadu dengan langkah-langkah pencegahan biasa diyakini oleh pihak kerajaan seperti Titah Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah, sempena Majlis Musabaqah Membaca al-Quran yang lalu: “Beta secara peribadi amatlah meyakini perkara ini, bahawa apa jua jenis virus yang membentuk wabak, tidak akan mampu untuk melangkahi ayat-ayat suci al-Quran..”.
Seterusnya Baginda bertitah lagi: “Betapa bertuahnya negara kita, harapan Beta ini tercapai. Karena al-Quran jika terus dibaca oleh rakyat dan penduduk, maka tidak diragukan lagi negara akan mendapat berkat dan berhias dengan cahaya, kerana bukankah Al-Qur’an itu cahaya?”
MUSA AHMAD, ADNAN MOHAMED YUSOFF
Penulis adalah profesor di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dalam bidang Sains & Teknologi (MA) dan bidang Quran & Sunnah (AMY) – HARAKAHDAILY 15/7/2021