Pemuda PAS Perak lapor polis terhadap Kit Siang

- Advertisement -

Oleh DANISYA ISMAIL

IPOH:
Pemuda PAS Negeri Perak membuat laporan polis terhadap pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkaitan isu ‘Kerajaan Allah’ yang dimuat turun di laman sosial pemimpin terbabit.

Laporan itu dibuat Timbalan Ketua, Ustaz Hafez Sabri yang menganggap tulisan Kit Siang sebagai penghinaan terhadap Islam yang merupakan agama Persekutuan.

Katanya ia juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948.

- Advertisement -

“Tindakan pemimpin DAP menyiarkan penulisan sebegitu rupa jelas bertujuan mencetus kemarahan rakyat Malaysia khsususnya umat Islam.

“Ia boleh mengembangkan permusuhan dan kebencian antara golongan penduduk yang berlainan kaum dan agama di Malaysia,” kata beliau selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Hadir sama pimpinan utama Dewan Pemuda PAS Negeri Perak serta Ketua Pemuda PAS kawasan Zon Bandaraya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri memuat naik catatan ‘kerajaan Allah’ yang dianggap menghina Islam pada laman Facebook dan blog miliknya.

Hafez berkata, siasatan dan tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil pihak berkuasa supaya itu yang boleh mencetuskan ketenteraman awam itu tidak berulang lagi.

Katanya, sebagai veteran DAP yang telah lama berkecimpung dalam medan politik Kit Siang seharusnya lebih sensitif berkenaan isu-isu membabitkan penghinaan terhadap agama lain.

“Kami (Pemuda PAS) tidak boleh terima sebarang perkara yang boleh mencetus kontroversi dan menghina Islam. Kit Siang perlu segera membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya itu,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 6/7/2021

- Advertisement -