Pengusaha industri perlu patuhi semua akta, SOP

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUBANG PASU: Pengusaha industri digesa agar mematuhi semua akta dan produser operasi standard (SOP) yang dikuatkuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang yang lebih tegas diambil ke atas mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata sehingga hari ini sebanyak 757 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 [Akta 446] terhadap majikan dalam pelbagai sektor yang melibatkan pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu sebanyak 125 telah pun diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara.

- Advertisement -

“Manakala 55 kes telah selesai dengan jumlah denda dibayar sebanyak RM361,000,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas Operasi Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah kilang di Jitra, hari ini.

Sementara itu menurutnya lagi, 305 kertas siasatan telah dberi izin kompaun yang melibatkan tawaran berjumlah RM3,297,000 terhadap majikan-majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446.

Menurutnya, kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah pelanggaran di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.

Selain ia juga melibatkan Peraturan Tiga dan Empat di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 iaitu tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja.

“Hukuman bagi kesemua kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan.

“Sementara kompaun bagi satu kesalahan pula boleh dikenakan sehingga RM25,000,” jelas beliau.

Tambahnya, selain menguatkuasakan Akta 446, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut diberikan amanah untuk memastikan SOP PKP 3.0 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dipatuhi.

Menurutnya, sepanjang penguatkuasaan Akta 342, sebanyak 433 tempat pekerjaan telah diperiksa dan dari jumlah itu 72 kompaun telah dikeluarkan dengan jumlah sebanyak RM613,000 melibatkan 62 majikan dan 10 individu.

Dalam perkembangan yang sama, katanya sehingga ini di Kedah sebanyak 39 kertas siasatan telah dibuka dan dari jumlah itu tujuh kes mendapat izin dakwa manakala enam daripadanya telah selesai dengan jumlah dendaan sebanyak RM58,000.

Tambahnya, 19 daripada kertas siasatan itu telah pun mendapat izin kompaun dengan tawaran berjumlah RM190,000.

“Di Kedah kita menerima 105 aduan melalui aplikasi ‘Working for Workers’ (WfW) dan dari jumlah itu 95 (90.5 peratus) daripadanya telah diambil tindakan.

“Dalam aspek Akta 342 pula sebanyak 16 premis di negeri ini telah diperiksa dan kompaun bernilai RM10,000 telah dikenakan ke atas satu majikan,” tambah Ahli Parlimen Pendang itu lagi. – HARAKAHDAILY 27/6/2021

- Advertisement -