Covid: Sektor industri perlu dipantau secara serius

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Ahmad Yunus Hairi melahirkan kebimbangan adakah lekok wabak Covid-19 berjaya dilandaikan dalam tempoh pelanjutan dua minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang akan tamat pada 28 Jun ini.

Katanya, ini kerana ahli politik pembangkang sibuk dengan desakan penamatan darurat dan pembukaan sidang Parlimen.

Sepatutnya, tegas beliau tindakan secara serius buat masa ini untuk menangani wabak Covid-19 seolah-olah bukan menjadi agenda utama.

- Advertisement -

“Tidak boleh dinafikan lagi Selangor sebagai negeri penyumbang terbesar harian kes Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Jun lalu sejumlah 5,841 kes baharu dengan Selangor mencatat 2,072 kes dan kekal sebagai penyumbang tertinggi kematian dengan 32 orang serta mempunyai kluster baharu tempat kerja dengan lapan kes.

Menurutnya, dilaporkan juga 15 buah kilang sudah dikompaun di Shah Alam sehingga semalam  atas kesalahan yang dilakukan seperti beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan jumlah pekerja melebihi kapasiti yang dibenarkan serta tidak menyediakan laluan masuk dan keluar khas.

Beliau yang juga Adun Sijangkang menegaskan Kerajaan Selangor perlu lebih tegas dan proaktif untuk bertindak bersepadu.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Taman Perindustrian (IPMC) perlu diperkasakan dan bertindak bagi membincangkan langkah-langkah terbaik bagi pemantauan dan pematuhan menangani wabak Covid-19, arahan PKP dan program vaksinasi.

“Pematuhan SOP kepada semua pekerja tegas beliau perlu dilakukan secara serius termasuk pekerja asing begitu juga keadaan rumah kediaman mereka perlu diambil kira,” ujarnya.

Katanya mesyuarat dua dua kali setahun dan amalan perbincangan biasa seperti sebelum ini sudah tidak relevan lagi di era wabak Covid-19.

Beliau berharap Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) harus ditumpukan secara serius di Selangor agar sektor perindustrian dapat dipulihkan dengan kadar segera. – HARAKAHDAILY 26/6/2021

- Advertisement -