Murabbi ikhlas pembimbing ke jalan Allah

- Advertisement -

“MACAM mana nak cari murabbi yang ikhlas? Hari ini ramai yang pelik-pelik. Tapi diangkat sebagai murabbi,” tanya seseorang. 

Waktu itu sedang berkongsi mengenai Tarbiyah Ruhiyah. Dalam teks yang digunapakai, kebetulan termaktub perkataan ‘murabbi yang ikhlas.’ Poin itu dijadikan asas persoalan. Soal ikhlas ini benda batin. Tak boleh dikesan pancaindera. Namun boleh dikesan dengan mata hati.

- Advertisement -

Pertama sekali kita sendiri kena ikhlas. Merujuk kepada Hadis Nabi S.A.W:

الأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ، فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ، وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اخْتَلَفَ

“Para roh dicipta dalam skuad-skuad tertentu. Apa yang bersamaan mereka akan serasi. Apa yang bersalahan mereka akan tidak serasi.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulamak, penciptaan manusia melalui beberapa fasa. Fasa pertama adalah alam roh. Roh kita dicipta dengan menghimpunkannya itu dalam skuad yang memiliki persamaan sesama mereka. Yang baik dihimpun bersama yang baik, yang jahat bersama jahat. Para roh telah berkenalan di alam itu. 

Bila sampai waktunya, malaikat tiupkan roh ke janin para ibu. Fasa ini roh ini berpindah ke alam rahim. Mereka terpisah mengikut keberadaan janin masing-masing. 

Apabila lahir ke alam nyata, jika mereka bertemu sesama roh yang pernah dihimpun bersama di alam roh, mereka mudah untuk serasi walaupun jaraknya jauh. Begitu juga jika roh itu tidak dihimpun bersama di alam roh, mereka susah serasi walaupun tinggal sekali.

Berbalik kepada mencari murabbi ikhlas, bila kita sendiri ikhlas Insya-Allah jiwa kita akan mudah serasi bila menjumpai murabbi ikhlas. Malah bukan sahaja murabbi, mana-mana orang yang ikhlas juga kita akan rasa perkara serupa. Kesan memori alam roh.

Media sosial boleh jadi medan menghimpunkan semula roh yang sama. Bila kita boleh jumpa orang yang ‘sekepala’ dengan kita melalui perkongsian di akaun masing-masing, mungkin itu tanda kita pernah dihimpun bersama di alam roh dulu.

Tapi bukan semua orang kongsikan benda yang menggambarkan diri sebenar mereka di media sosial. Banyak juga yang kongsi benda palsu, yang nampak soleh, tapi hakikatnya diri mereka bukan begitu. Justeru kita juga boleh tertipu dengan perwatakan di media sosial.

Kesimpulannya, jika kita betul ikhlas, niat betul, apa kita buat atas dasar yang benar, maka jangan sedih jika dipalau orang sekeliling. Mungkin mereka bukan roh yang pernah dihimpun bersama.

Teruskan berada di jalan kebenaran. Insya-Allah lambat laun kita akan ditemukan dengan teman sefikrah, sejalan dan sematlamat. Terus bersabar menjalani hidup. Pokok pangkalnya, jaga ikhlas kita dahulu.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -