Exco sahkan jemaah masjid meninggal akibat Covid

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Berita kematian 15 jemaah Masjid di Taman Mahsuri, Jitra yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp, disahkan meninggal akibat jangkitan Covid-19.

Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, kematian itu dipercayai berlaku sejak dua minggu lalu selepas virus itu mula merebak dalam kalangan jemaah pada Mei lalu.

- Advertisement -

Menurut beliau, maklumat berkenaan diperolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan virus berkenaan merebak sejak tercetusnya kluster di Taman Mahsuri tersebut.

“Berita kematian 15 orang ahli jemaah Masjid Taman Mahsuri itu saya perolehi oleh JKN Kedah. Ini menunjukkan virus Covid-19 ini sangat bahaya sehingga boleh meragut nyawa ramai orang dalam satu masa,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Berikutan itu beliau menasihatkan orang ramai agar segera mendaftar untuk menerima vaksinas Covid-19 sebagai langkah keselamatan untuk diri sendiri dan orang lain.

“Kita harapkan virus ini cepat-cepatlah pergi. Kita juga harap orang ramai terus mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin seterusnya kita dapat membentuk imuniti berkelompok,” tambahnya lagi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di Lubuk Kawah dan Taman Mahsuri sejak 18 Mei lalu telah tamat semalam.

Pada 16 Mei lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di dua kawasan tersebut selama dua minggu bermula 18 Mei sehingga 31 Mei lalu.

Memandangkan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan tidak menunjukkan penurunan, PKPD yang sepatutnya tamat pada 31 Mei itu disambung semula pada 1 Jun hingga semalam.

Sementara itu, PKPD untuk daerah Kota Setar sejak sebulan lalu tamat hari ini. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -