Pandemik: Benarkah kakitangan kesihatan kita sudah keletihan?

- Advertisement -

oleh Dr Muhamad Rafiqi Hehsan

Polemik pandemik COVID-19 di dalam negara kita sehingga ke hari ini masih belum berkesudahan. Peratusan pesakit COVID-19 yang ada masih belum menunjukkan penurunan dengan jumlah kes keseluruhan sehingga kini menghampiri 650,000 orang dan kadar kematian yang dilaporkan menghampiri 4000 kematian.

Hal ini amatlah membimbangkan pelbagai pihak dan berharap pandemik ini berakhir dengan kadar yang segera. Pihak kerajaan telah bersikap proaktif dengan memperkenalkan program vaksinasi kebangsaan yang telah bermula sejak 24 Februari 2021 lagi dengan meliputi tiga fasa.

Program vaksinasi ini dijangka dapat merangsang imunisasi kelompok dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pusat kuarantin juga telah dikembangkan di seluruh negara dengan memaksimakan kemudahan dan keperluan yang ada. Ini bagi memastikan rantaian penularan COVID-19 dapat dibendung dengan baik.

- Advertisement -

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meningkatkan persiapan menghadapi COVID-19 sejak 6 Januari 2020 lagi dengan penguatkuasaan sistem penyaringan dan pengawasan. Kes pertama dikesan di Malaysia pada 24 Januari 2020 dan Perintah Sekatan Pergerakan (RMO) telah dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Secara kita tidak sedar, kakitangan kesihatan kita terus memainkan peranan yang penting bagi membendung pandemik ini di dalam negara. Mereka terus melakukan pengawasan, pemeriksaan, saringan, diagnosis, dan rawatan, daripada peringkat bawah sehinggalah pesakit sembuh daripada wabak ini.

Namun, dengan faktor kerja yang berlebihan, banyak laporan yang menunjukkan kakitangan kesihatan menghadapai pelbagai impak yang buruk. Antaranya adalah keletihan luar biasa secara emosi dan fizikal yang secara tidak langsung mengurangkan prestasi profesional dengan hilangnya semangat, perasaan kurang berprestasi, dan rendah diri.

Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia, menghasilkan penemuan bahawa lebih daripada separuh kakitangan kesihatan Malaysia yang terlibat mengalami keletihan. Penemuan ini selari dengan kajian yang dilakukan di Singapura sebanyak 49.2 peratus dan 44.6 peratus di India.

Bahkan kadar keletihan dalam kalangan kakitangan kesihatan lebih tinggi di United Kingdom sebanyak 79 peratus, 82 peratus di Sepanyol, 76 peratus di Romania, 53 peratus di Itali dan 61 peratus di Wuhan, China. Kebanyakan mereka dibebani dengan tugasan pemeriksaan kesihatan, penjejakan atau contact tracing, pemeriksaan saringan COVID-19 dan proses dekontaminasi.

Kakitangan kesihatan di makmal perubatan juga mempunyai beban kerja yang bertambah kerana Malaysia telah meningkatkan kapasiti diagnostik COVID-19 bagi mempercepatkan proses diagnosis dan rawatan. Satu kajian di Jepun mendedahkan bahawa kakitangan perubatan makmal 6.1 kali lebih banyak mengalami keletihan jika dibandingkan dengan kakitangan yang lain.

Tahap kegelisahan atau anxiety juga bertambah dengan terpaksa bekerja lebih dari 60 jam setiap minggu, pemakaian PPE yang berpanjangan dan jadual bekerja yang tidak menentu sehingga kurang tidur. Bagi mereka yang berkeluarga pula, mereka terpaksa berpisah dengan anak-anak sehingga dikaitkan dengan peningkatan kadar kemurungan, kegelisahan, kecelaruan emosi dan tekanan semasa pandemik COVID-19.

Keluarga berfungsi sebagai sokongan sosial bagi kakitangan kesihatan dan sokongan psikologi yang tidak mencukupi di tempat kerja meningkatkan kemungkinan kesan buruk ini. Kadangkala mereka terpaksa melakukan kuarantin kendiri bagi mengelakkan penularan virus kepada keluarga ketika mereka pulang ke rumah. Kakitangan kesihatan juga terdedah dengan stigma masyarakat yang tidak menyedari bahawa mereka bergelut dengan bebanan kerja yang banyak bagi memberikan rawatan terbaik kepada pesakit COVID-19.

Kajian ke atas 1,153 profesional kesihatan di Itali mendapati bahawa mereka yang terlibat secara langsung dengan pesakit COVID-19 mengalami tahap tekanan yang berkaitan dengan pekerjaan yang lebih tinggi, terutamanya keletihan emosi dan depersonalisasi. Depersonalisasi merujuk kepada pengalaman sekurang-kurangnya satu gejala somatik seperti perubahan dalam tabiat makan, sukar tidur, dan ketegangan otot. Beberapa kajian melaporkan bahawa wanita mempunyai tahap yang lebih tinggi keletihan emosi daripada rakan lelaki mereka.

Namun, lelaki mungkin mengalami lebih sedikit gejala somatik berbanding wanita. Terdapat pelbagai dimensi tindak balas terhadap tekanan kerja bagi kakitangan kesihatan. Tekanan ini mungkin bersifat fisiologi, emosi, atau interpersonal. Keletihan luar biasa juga mungkin membawa kepada peningkatan kadar masalah psikologi, perubahan tingkah laku, berfikiran untuk membunuh diri, dan penggunaan bahan narkotik serta merbahaya dalam kalangan kakitangan kesihatan.

Walaupun kakitangan kesihatan menghadapi cabaran dalam masa pandemik COVID-19 ini, kebanyakan mereka masih berfikiran positif, dan cuba mencari sokongan sebagai kaedah untuk mengatasi simptom keletihan. Antaranya adalah dengan melakukan aktiviti fizikal, bersama kumpulan sokongan kaunseling, dan amalan kerohanian sebagai sebahagian daripada aktiviti pengurangan tekanan mereka.

Penjagaan kesihatan fizikal dan emosi adalah strategi yang berkesan untuk mengurangkan keletihan. Ahli keluarga serta orang tersayang hendaklah memberikan sokongan sosial yang kuat kepada kakitangan kesihatan dalam keluarga mereka. Kakitangan kesihatan juga usah mengabaikan kesihatan fizikal, mental, sosial, dan emosi mereka sendiri. Interaksi sosial sesama kakitangan kesihatan, kemahiran berkomunikasi serta budaya kerja yang selesa dan berpasukan juga berkesan dalam mengurangkan kesan keletihan.

Kesimpulannya, masyarakat seharusnya mengerti bahawa kakitangan kesihatan kita semakin hari semakin penat dan keletihan. Setiap hari kes pesakit COVID-19 semakin bertambah tanpa pengurangan, dan ini menunjukkan semakin bertambah beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh kakitangan kesihatan kita. Umat Islam perlu sentiasa berganding bahu dan bantu-membantu agar kita dapat bersama-sama berjaya membendung wabak ini.

Dalam satu hadith dari Abu Musa RA bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain”. Baginda terus menyusupkan antara jari-jarinya (HR al-Bukhari).

Di dalam hadith yang lain pula, daripada An-Nu`man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kamu melihat orang-orang yang beriman dalam berkasih-sayang, hubungan cinta mereka dan saling berbuat baik sesama mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila ada bahagian tubuh yang berasa sakit, maka bahagian tubuh yang lain ikut tidak boleh tidur dan merasa demam” (HR al-Bukhari).

Dr Muhamad Rafiqi Hehsan adalah Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology) di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

- Advertisement -