Kerakusan DAP mangsakan rakyat – Steven Koh

Beberapa kawasan dinaiki air selepas hujan lebat selama dua jam.
- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

BALIK PULAU: Pembangunan yang tidak seimbang dan masalah sistem perparitan di Pulau Pinang menyebabkan kekerapan musibah banjir kilat di beberapa kawasan yang dilanda hujan lebat pada Khamis.

Lapan kawasan bermula Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran FIZ 1 dan FIZ 2, Jalan Sungai Pinang, Lebuhraya Batu Maung, Jalan Mahsuri, Taman Manggis di sini, Lorong Sungai Ara dinaiki air selepas hujan lebat sekitar jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari.

- Advertisement -

Pada 29 Mei lepas, kawasan Ayer Hitam turut ditimpa banjir kilat selepas dibadai hujan lebat selama dua jam.

Timbalan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pulau Pinang, Steven Koh tidak menafikan kerugian yang terpaksa ditanggung rakyat negeri itu disebabkan kerakusan kerajaan negeri yang mesra pemaju.

Steven Koh

Kerakusan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mengejar keuntungan dan mesra pemaju menyebabkan rakyat terpaksa memikul beban.

“Dulu boleh dikatakan setahun dua tiga kali sahaja banjir kilat melanda di negeri ini, sekarang boleh dikatakan seminggu dua kali boleh berlaku banjir kilat.

“Dulu juga selalu kawasan yang akan dinaiki air adalah Jalan Sungai Pinang berdekatan Jalan P. Ramlee, tetapi sekarang semua tempat di sebelah Timur Laut mudah dinaiki air,” ujar Steven yang dihubungi Harakahdaily pada Jumaat.

Ada kalangan peniaga katanya yang menanggung kerugian kerana tidak dapat berniaga ekoran banjir kilat yang berlaku pada Khamis lepas.

“Sekarang seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ditambah pula musibah banjir kilat yang secara tidak langsung merosakkan harta benda orang awam.

“Semalam (Khamis) dua buah kereta ditenggelami air, manakala perniagaan terganggu. Sekarang ini walaupun sedang PKP, musibah ini tetap memberi masalah kepada rakyat jika berlaku banjir kilat, akan berlaku kerosakan harta benda.

“Setahu saya tidak ada apa-apa tindakan daripada kerajaan Pulau Pinang untuk mengatasi masalah banjir kilat di Pulau Pinang walaupun selepas pelbagai rungutan dan aduan yang dibuat,” tambahnya.

Ujarnya, DAP sebuah kerajaan yang enggan mendengar keluhan rakyat, lebih-lebih lagi banyak bantahan dibuat rakyat negeri itu yang memaksa kerajaan negeri menghentikan projek-projek mega kerana mengganggu ekosistem alam.

“Sebagai pembangkang, kita sentiasa membangkang untuk kebaikan rakyat tetapi semak dan imbang di Pulau Pinang ini, terlalu berat sebelah sebab majoritinya lebih kepada DAP.

“Jadi suara kita tidak kedengaran, jadi itu puncanya. Contohnya projek tambak laut, dah banyak sangat dah bantahan dibuat tapi memang mereka tetap nak teruskan juga walaupun tidak ada permit.

“Sebab kerana inilah, semak dan imbang bila majoriti lebih memihak kepada mereka, kita sudah bantah namun ia tidak diambil peduli walaupun benda itu betul,” kata Steven.

Beliau berkata Pulau Pinang tidak wajar menduduki tangga ketiga sebagai pulau terbaik di dunia dan pertama di Asia untuk menjalani persaraan pada 2021 sekali gus negeri itu tidak sepatutnya memperoleh sekali lagi pengiktirafan antarabangsa sebagai tapak warisan dunia.

“Bagi saya itu cuma satu kewayangan daripada mereka, kalau mereka kata dia punya tema ‘Penang hijau bersih sihat’ semua itu kewayangan sahaja. Negeri ini paling kerap dilanda banjir, bukit ditarah, laut ditambak untuk dijadikan pulau buatan hingga ganggu pendapatan nelayan, ini semua kewayangan,” bidasnya.

Sebuah kereta dimasuki air selepas terperangkap dalam banjir kilat. (Sumber Facebook Penang Kini)

Beliau juga membidas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah mengumumkan pada 2012 bahawa negeri itu bebas dari miskin tegar di Malaysia.

“Kepala hotak dia (Guan Eng). Anda boleh tengok di bawah bangunan pentadbiran kerajaan negeri KOMTAR, beratus golongan gelandangan di situ. Di Penang ini saya anggarkan sekitar 500 gelandangan,” ujarnya.

Beliau dan rakan-rakannya aktif menyantuni dan membantu golongan gelandangan di sekitar daerah Timur Laut Pulau Pinang.

“Kita sediakan makanan untuk golongan ini, bangun seawal jam 4 pagi gotong-royong masak nasi dan lauk-pauk dan edarkan kepada mereka, sekarang sedang PKP, ramai yang terjejas bukan gelandangan sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -